Berita

Aplikasi model pengurusan perumahan awam Jepun

ISMADI (tengah) menyerahkan cenderahati kepada Ito Shota (kanan) selepas Majlis Penutupan Bengkel Specialist Dispatch Project For Kuala Lumpur City Hall di ibu negara Jumaat lalu.
- Diterbit 14 September 2023 6:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu menimba pengalaman dalam pengurusan perumahan awam dari negara Jepun bagi menguruskan perumahan awam di bawah kendaliannya.

Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Ismadi Sakirin berkata pihaknya akan menjadikan Perbadanan Perumahan Awam Fukuoka, Jepun sebagai model tadbir urus perumahan awam terbaik yang boleh diamalkan DBKL.

“Kami mendapati tiga perkara yang boleh diaplikasikan yang merupakan pengalaman dan amalan terbaik daripada Fukuoka adalah sistem sewaan yang bersasar mengikut taraf pendapatan penyewa.

“Selain itu, keterjaminan keselamatan penduduk melalui tindakan penguatkuasaan yang tegas bersama agensi penguatkuasaan seperti polis dan pemberian ganjaran serta pengiktirafan kepada penyewa yang cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup Program Specialist Dispatch Project For Kuala Lumpur City Hall di ibu negara Jumaat lalu anjuran Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Jepun untuk Hubungan Antarabangsa (J. CLAIR) Singapura.

Hadir sama Pengarah Urusan Perbadanan Perumahan Awam Fukuoka, Jepun, Takeda Seiichi; Timbalan Pengarah Kanan J.CLAIR Singapura, Nagata Takuya dan Timbalan Pengarah J.CLAIR Singapura, Ito Shota.

Tambah Ismadi, pihaknya menyambut baik kolaborasi antarabangsa sebegini ke arah mencapai bandar raya sejahtera untuk semua menjelang tahun 2030.

J.CLAIR Singapura merupakan sebuah organisasi yang ditubuhkan bagi menghubungkan Kerajaan Tempatan Jepun dalam mempromosi, menggalak dan menyediakan sokongan untuk pengantarabangsaan tempatan. J. CLAIR Singapura telah menjalankan aktiviti di 10 negara ASEAN termasuk di India dan Sri Lanka.

Untuk rekod, DBKL menyelenggara lebih 60,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam (PA) di 87 kawasan sekitar Kuala Lumpur dan menghadapi masalah tunggakan sewa serta ancaman vandalisme. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas