Berita

Pantai Sawangan Cina berpotensi sebagai pusat rekreasi baharu

RITHUAN menyempurnakan Program Mucang-Mucang SeWilayah di Pantai Sawangan Cina sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.
- Diterbit 4 Mac 2023 1:00 AM MYT

KAWASAN pesisir Pantai Sawangan Cina di sini berpotensi menjadi pusat rekreasi baharu di Pulau Bebas Cukai itu yang dilihat mampu menjadi tarikan kepada pengunjung luar dan tempatan bagi melakukan aktiviti riadah dan sebagainya.

ORANG ramai terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta menyertai Program Mucang-Mucang SeWilayah di Pantai Sawangan Cina.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail, ini kerana kawasan tersebut akan dibuka sebagai kawasan rekreasi yang kedua selepas Pusat Rekreasi Taman Damai Layang-Layangan.

“Kawasan yang menjadi milik Perbadanan Labuan itu akan disediakan pelbagai kemudahan fasiliti seperti tempat letak kereta dan gerai jualan.

“Kawasan ini juga memang sangat menarik kerana pantainya menghadap tanah besar Sabah yang turut memperlihatkan keindahan panorama Gunung Kinabalu serta persekitarannya memperlihatkan suasana matahari terbit sekali gus menyaksikan kawasan ini berpotensi untuk menjadi tarikan pengunjung untuk beriadah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Mucang-Mucang SeWilayah sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023 peringkat Labuan, baru-baru ini.

Program itu mencatatkan sebanyak lebih 150 orang yang melibatkan penyertaan daripada jabatan dan agensi kerajaan, swasta, dewan perniagaan serta pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Pada program itu, sebanyak 30 pokok pelbagai jenis telah berjaya ditanam di kawasan pesisir pantai yang terdiri daripada pokok penaga laut, rhu dan kelapa sebagai tanda simbolik pelancaran program tersebut. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas