Berita

YPB bakal anjur Festival Pengantin Melayu Februari ini 

PENGERUSI Yayasan Patriotik Bangsa, Datuk Che Yazid Othman bergambar bersama salah seorang wakil penaja program, Lanai Karya Event Space selepas menandatangani perjanjian.
- Diterbit 6 Januari 2023 11:07 AM MYT

BERITA baik bagi mereka yang sedang merancang untuk melangsungkan perkahwinan, Yayasan Patriotik Bangsa (YPB) akan mengadakan Festival Pengantin Melayu dan Makanan Tradisi Rakyat Malaysia pada bulan Februari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YPB, Datuk Hassan Saad berkata acara ini dijangka akan berlangsung secara besar-besaran di Putrajaya bagi memberi peluang kepada mana-mana pasangan mendapatkan idea dan mencari barangan sebelum melayarkan bahtera perkahwinan.

“Festival ini merupakan sebahagian daripada Program Perkahwinan Perdana 2.0 ‘Selangkah Ke Alam Perkahwinan Siri kedua’ yang akan melibatkan seramai 100 pasangan dinikahkan dan diraikan dalam satu majlis perkahwinan beramai-ramai pada 29 April dan 30 April di Masjid Putra, Putrajaya.

“Pada acara ini, ia akan menghimpunkan sebanyak 100 perancang perkahwinan; 100 pendandan atau juruhias; 100 pereka fesyen; 100 penyaji makanan (caterer) dan akan melibatkan 100 syarikat perkhidmatan jurufoto dan video untuk merakamkan memori indah pengantin.

“Menariknya juga, kami turut menyajikan 1001 makanan tradisi rakyat Malaysia seperti kuih-muih, manisan dan sebagainya,” kongsinya kepada Wilayahku.

Justeru itu, bagi menjayakan acara yang akan diadakan pada hujung Februari ini, Datuk Hassan turut mempelawa mana-mana organisasi untuk bekerjasama dengan pihak YPB bagi memeriahkan lagi penganjuran mega bertaraf nasional ini.

“Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian dari semasa ke semasa menerusi laman Facebook termasuklah bantuan hebahan daripada para media,” tambahnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas