Berita

MAIWP salur RM6 juta bantu mangsa banjir

||
- Diterbit 29 Disember 2022 4:20 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM6 juta bagi membantu mangsa banjir khususnya di negeri Pantai Timur.

Menurut Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, sebanyak RM1 juta akan disalurkan masing-masing kepada Majlis Agama Islam Negeri di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Manakala RM2 juta lagi untuk misi bantuan banjir dan barangan sumbangan seperti jag air elektrik, sejadah, kain batik, kain pelikat serta alatan pembersihan.

Sementara itu, sebanyak RM1 juta disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan kit solat menerusi Skuad Musa’adah iaitu agensi di bawah Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

“Peruntukan RM6 juta merupakan wang zakat daripada pembayar zakat dan kami berterima kasih kepada kesemua pembayar zakat“, katanya kepada pemberita selepas upacara penyerahan vest Skuad MAIWP INSANI di Darul Kifayah MAIWP Batu Caves, semalam.

Dalam masa sama, pihaknya turut memobilisasikan Skuad MAIWP INSANI ke Kelantan dan Terengganu bermula 29 hingga 30 Disember ini.

PELEPASAN konvoi MAIWP Insani Misi Bantuan Banjir Negeri Terengganu oleh Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar

Mohd Daud berkata seramai 108 pegawai MAIWP, anak syarikat MAIWP dan badan bukan kerajaan (NGO) turut terlibat dalam menyalurkan bantuan barangan kelengkapan berkenaan yang merangkumi 1,500 mangsa banjir di setiap negeri yang terlibat.

Pada peringkat awal, mungkin banyak sokongan tetapi ketika pascabanjir, ia memerlukan tenaga dan kudrat manusia untuk mereka yang terkesan terutamanya bagi membersihkan rumah dan mengembalikannya dalam keadaan asal.

Rakan-rakan strategik lain yang bekerjasama dengan MAIWP untuk program kali ini adalah Pertubuhan Kebajikan NIQ Ehsan Malaysia, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, MAIWP health Care, Kolej Profesional Baitumal Kuala Lumpur (KPBKL), University College MAIWP International, MAIWP Dagang dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas