Utama

2,000 pelajar IPT B40 di Kuala Lumpur terima bantuan JPKM 2022

JALALUDDIN (kiri) menyerahkan sumbangan komputer riba kepada seorang pelajar B40 Kuala Lumpur pada Isnin.
- Diterbit 12 Oktober 2022 7:16 AM MYT

SERAMAI 2,000 pelajar daripada golongan berpendapatan rendah B40 sekitar Wilayah Persekutuan yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah menerima bantuan di bawah Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) 2022 di bawah Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin).

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata program inisiatif Perdana Menteri itu telah membuka peluang akses pendidikan tinggi kepada pelajar kurang berkemampuan di seluruh negara.

“Inisiatif kerajaan dalam membantu pelajar daripada golongan B40 termasuk penduduk luar bandar di 35 Parlimen setakat ini mendapat sambutan menggalakkan.

“Matlamat program ini adalah bagi membolehkan pelajar yang memiliki kelulusan ditawarkan tempat di universiti awam atau swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) tiga penjuru di antara Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) dan Prihatin serta Penyerahan Sumbangan Kepada Anak-Anak Wilayah Persekutuan di Unitar pada Isnin.

Hadir sama, Naib Canselor Unitar, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin), Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali.

MoU berkenaan bertujuan untuk membangun, menyokong serta memperkayakan pembangunan penyelidikan selain pendidikan tinggi bagi memacu pertumbuhan negara.

Menurut Jalaluddin berkata pelbagai kaedah telah dilaksanakan untuk mencari dan menjejaki pelajar-pelajar ini bagi mengelak keciciran.

“Saya difahamkan pasukan Prihatin ini telah berkunjung ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) seluruh Kuala Lumpur termasuk menjelajah ke 11 parlimen untuk membantu anakanak ini melanjutkan pelajaran ke IPT.

“Mereka ini akan menerima bantuan perbelanjaan dan komputer riba dari Prihatin dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“MAIWP merupakan penyumbang utama dana bantuan awal pendidikan, komputer riba, cermin mata dan barangan keperluan asas ke Menara Gading,” katanya.

Sementara itu, Jalaluddin berkata seramai 32,600 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam dan swasta sudah menerima bantuan di bawah Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) 2022 tahun ini.

“Saya amat berbangga dan sangat teruja apabila lebih 200,000 anak-anak Keluarga Malaysia telah ditempatkan di Institusi Pengajian dan Kemahiran Tinggi termasuk Universiti Awam sepanjang tiga tahun penganjuran Jelajah Pendidikan Bumiputera sebelum ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas