Utama

Taman Landskap Instagrammable bakal jadi tumpuan RFP 2022

PELBAGAI acara menarik bakal diadakan di Royal Floria Putrajaya 2022.
- Diterbit 26 Ogos 2022 4:00 AM MYT

DIJANGKA seramai 500,000 pengunjung acara tahunan Floria Diraja Putrajaya atau Royal Floria Putrajaya (RFP) 2022 bakal mengunjungi pelbagai taman dalam festival yang akan berlangsung dari 29 Ogos sehingga 4 September ini.

Antara taman yang menarik dan bakal menjadi perhatian adalah Taman Landskap Instagrammable atau Taman OOTD yang turut dipertandingkan dalam pertandingan landskap RFP 2022.

Menariknya reka bentuk taman yang dipertandingkan di bawah Syarikat Putrajaya Leisure & Services Group Sdn Bhd (PULSE Group) ini bertemakan hidupan laut untuk meningkatkan kesedaran ke arah melindungi dan memelihara.

Menurut Pengurus Projek PULSE Group yang juga Arkitek Landskap, Roziyanti Abu Darim, pihaknya melaksanakan konsep 3R iaitu reduce (mengurangkan pembaziran), reuse (guna semula) dan recycle (kitar semula) untuk meningkatkan kesedaran.

“Semua bahan kami diperbuat daripada botol, plastik, tayar, kayu dan besi yang dapat menunjukkan kesedaran bagi menyelamatkan laut. Selain itu, tema reka bentuk ini ialah bunga orkid untuk mengimbangi flora dan fauna,” ujarnya.

Lokasi taman yang terletak berhampiran dengan Taman Inggeris ini merupakan sebuah kawasan yang bakal digemari anak-anak muda yang suka bergambar dengan Outfit of The day (OOTD) masing-masing.

Sementara itu, berdekatan taman ini disediakan sebuah kafe yang berkonsepkan ‘outdoor cafe’ (F&B) yang mana pengoperasiannya adalah dari pihak katering Putrajaya International Convention Centre (PICC) dan juga Floria Beach Cafe yang dioperasikan oleh PULSE Grande Hotel.

Selain itu, antara komponen lain yang dianjurkan PULSE Group adalah Pertandingan Landskap Taman Institusi Pengajian Tinggi dan Pertunjukan Bot Hiasan Berlampu.

“Pertandingan Landskap Taman Institusi Pengajian Tinggi termasuk kategori Taman Kreatif dan Pencahayaan Menarik akan bagi memberi peluang kepada siswa dan siswi menunjukkan daya kreativiti, kesenian dan profesionalisme masing-masing dalam menonjolkan bakat mereka dengan menghasilkan taman yang kreatif.

“Selain sijil penyertaan dan hadiah tempat pertama, kedua dan ketiga kepada lapan buah institusi yang menyertai, insentif sebanyak RM5,000 diberikan kepada setiap institusi berdasarkan Geran Sepadan Sektor Perlancongan (GSSP) daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) bagi galakkan penyertaan selain memberi kemudahan dari segi kos binaan taman, pengangkutan, makanan, minuman serta penginapan,” ujarnya.

Sementara itu, Pameran Bot Berhias Berlampu dan Pertunjukan Rekreasi Air pula merupakan salah satu tarikan utama aktiviti pada malam hari. Terdapat sebanyak lima Perahu Dong Dang Sayang dan tiga cruise yang disediakan PULSE Group menerusi pihak Marina Putrajaya.

Jelas Roziyanti pengunjung berpeluang menaiki Perahu Dong Dang Sayang dan cruise yang akan disediakan sepanjang festival berlangsung.

Dalam pada itu, PULSE Group turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) kerana sentiasa menyokong usaha-usaha ke arah mempertingkatkan prestasi industri pelancongan dan penjanaan ekonomi negara.

“PULSE Group bersedia bekerjasama dengan pihak MOTAC, Perbadanan Putrajaya (PPj), kontraktor, pembekal, peniaga dari semasa ke semasa bagi merealisasikan program yang berprestij ini,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas