PELARI pecut muda, Muhammad Azeem Mohd Fahmi hari ini ditawar pengajian diploma beserta biasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menurut Pengarah Akademik UPSI, Profesor Madya Dr. Abdul Rahim Razalli, dalam suatu kenyataan berkata, atlet olahraga yang mendapat jolokan ‘Usain Bolt’ ini mengungguli acara 100 meter, Kejohanan Olahraga Terbuka Perak 2022 dan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.
“Tawaran tersebut bagi mengiktiraf kecemerlangan akademik dan sukan beliau dengan memperoleh keputusan 6A dalam SPM serta kecemerlangannya menjulang pingat Olahraga Terbuka Perak 2022,” jelasnya selepas menyerahkan surat tawaran kepada bapa Azeem, Mohd Fahmi Tajuid, 53, yang ditemui di kediamannya di Teluk Intan.

Turut hadir Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Profesor Madya Dr. Mohd Izwan Shahril, Pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI, Profesor Dr. Nur Ikhwan Mohamad.
Mohd Fahmi, 53, ketika ditemui menyambut gembira hasrat UPSI serta akan mempertimbangkan tawaran selepas berbincang dengan Muhammad Azeem sendiri.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata sebagai universiti pendidikan utama negara, UPSI sentiasa memberi ruang sokongan kepada para atlet tanahair yang dilihat dapat memacu kepada kecemerlangan sukan tanahair sekaligus mengharumkan nama negara dan universiti ke peringkat antarabangsa.
Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa Profesor Dr. Marzita Puteh pula dalam kenyataannya berkata UPSI sentiasa komited dalam memberikan pendidikan holistik demi menghasilkan graduan yang berkualiti selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi. – WILAYAHKU