Berita

Ibu tunggal terima bantuan rumah daripada MAIWP

RUSNAH (dua dari kanan)
- Diterbit 19 Jun 2022 10:00 AM MYT

HASRAT seorang ibu tunggal Rusnah Mohamad, 61, untuk memiliki kediaman baharu tercapai apabila menerima kunci rumah menerusi bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan, baru-baru ini.

Lebih menggembirakan, dia dan keluarga telah berpindah pada bulan Ramadan dan dapat merayakan Hari Raya Aidilfitri di rumah baharu itu.

Menurutnya, sebelum ini dia dan keluarga terpaksa berteduh di rumah lama yang telah usang sejak 20 tahun lalu.

“Syukur alhamdulillah, sekarang saya dan keluarga dapat tinggal di rumah ini. Terima kasih kepada pihak MAIWP dan pembayar zakat yang membantu kami sekeluarga,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah itu di Kampung Pohon Batu, baru-baru ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya berkata sepanjang tahun ini pihaknya telah membaik pulih lapan buah rumah dan membina dua buah rumah asnaf di pulau ini.

“Ini bagaimana MAIWP menunjukkan kecaknaan, keprihatinan kepada golongan yang memerlukan.

“Kita juga berkesempatan menziarah beberapa keluarga asnaf di sini dan kita mahu melihat keperluan tambahan yang diperlukan oleh mereka dalam tempoh peralihan fasa pandemik ke endemik,” katanya.

Terdahulu, beliau turut berkesempatan menziarahi dua keluarga asnaf iaitu Laja Zainudin di Kampung Gersik dan Mohd Izwani Matzamin di Kampung Bebuloh laut. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas