Artikel

Cerita demonstran di Kuala Lumpur

MANIPULASI sentimen umum berlaku tanpa sedar dan perhimpunan semakin menjadi senama dengan Kuala Lumpur.
- Diterbit 25 Mac 2022 7:11 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN

Wartawan Bebas

MENGANJURKAN perhimpunan haram walau apa alasan sekalipun bukan satu tindakan bertanggungjawab.

Banyak kesan buruk daripada tindakan sedemikian. Antaranya memberikan gambaran yang tidak tepat tentang keadaan negara ini di mata dunia.

Banyak isu yang dibawa ke jalan raya sebenarnya boleh diselesaikan di meja rundingan. Dalam perundingan menepuk hingga pecah meja sekalipun tidak ada masalah. Itukan sebahagian daripada proses untuk mendapatkan kata sepakat dan menyelesaikan pertikaian?

Perhimpunan, sama ada secara haram atau yang dibenarkan oleh pihak berkuasa bukan saluran betul untuk mencapai sesuatu matlamat. Banyak pendekatan lain yang tidak mencetuskan gangguan terhadap orang ramai serta mempermainkan sentimen mereka. Bagaimanapun cara demikian kurang memberi peluang kepada oportunis tertonjol di depan rakyat.

Kuala Lumpur perlu dibersihkan daripada tindakan tidak bertanggungjawab dan membuka laluan bandar raya ini dieksploitasi oportunis.

Mesti ada tindakan tegas untuk menghalang segala bentuk perhimpunan yang mengganggu urusan harian rakyat – tutup jalan utama, tutup stesen LRT Masjid Jamek dan banyak lagi. Malah ada kedai-kedai di sekitar laluan demonstran ditutup kerana bimbang perkara yang tidak diingini.

Seperkara lagi hal sistem pentadbiran negara bukan berada di jalan raya. Bukan berada di Dataran Merdeka atau Jalan Raja di depan bangunan Sultan Abdul Samad. Keadilan tidak dapat ditegakkan hanya dengan memainkan sentimen umum daripada perhimpunan sedemikian.

Tentu sebahagian dalam kalangan kita masih ingat dengan perhimpunan di depan stesen LRT Masjid Jamek dan Dataran Merdeka setahun lalu ketika rakyat berdepan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika itu rakyat diasak supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) – antaranya berjarak antara individu.

Ironinya demonstran di depan stesen LRT Masjid Jamek dan Dataran Merdeka. Mereka berhimpit dan bergerak bebas tanpa menghiraukan SOP. Di Dataran Merdeka pula kelihatan beberapa ahli kabinet yang muka mereka selalu kelihatan di televisyen hadir memberi sokongan.

Hal ini berlaku ketika sebahagian besar rakyat di negara ini hanya boleh bergerak dalam lingkungan 10 kilometer. Padahal demonstran itu datang di luar lingkaran 10 kilometer.

Mereka tidak ada kebenaran untuk bergerak melepasi garis 10 kilometer untuk mengadakan perhimpunan bertemakan baju hitam.

Pada masa yang sama banyak dalam kalangan rakyat hilang pekerjaan dan terpaksa pula berdepan dengan masa depan tidak menentu.

Tetapi kerana mereka warga berpekerti mulia, SOP itu tetap dipatuhi. Sanggup tidak keluar bekerja yang menjadi satu-satunya sumber pendapatan. Bezanya demonstran bebas melanggar SOP hanya untuk berhimpun dan membuat porak peranda, tetapi tidak menjurus faedah kepada rakyat.

Saya dan sekalian rakyat tertanya-tanya, kenapa semua isu berbangkit tidak dibincangkan di Parlimen? Bukankah Parlimen itu tempat mereka berhujah dan berbahas? Kenapa memilih untuk bersama-sama dengan anak muda tidak ketahuan di jalan raya?

Demikianlah kepelikan di negara kita yang mencalarkan bandar raya Kuala Lumpur.

Saya tidak ada pengalaman melihat sendiri perhimpunan kebangkitan pelajar beberapa universiti awam tahun 1974 dulu. Sebaliknya hanya mendapat maklumat daripada pembacaan dan berbual dengan mereka yang berada dalam adegan perhimpunan berkenaan.

Bagaimanapun mendengar cerita daripada individu tertentu atau membaca surat khabar tidak terlepas daripada manipulasi. Banyak sangat yang berkepentingan dengan perhimpunan itu. Hal yang demikian tentulah tidak sama dengan berada sendiri di tengah-tengah peristiwa.

Selepas kebangkitan pelajar tahun 1974, tidak ada lagi perhimpunan haram di Kuala Lumpur. Saya tidak pernah melihat perhimpunan di Kuala Lumpur sejak datang merantau tahun 1984. Kuala Lumpur aman tanpa gangguan terancang oleh demonstran.

Keadaan tenang di Kuala Lumpur berakhir pada 1998 apabila Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Sebaik sahaja berita itu pecah di media, Kuala Lumpur pun kembali diserkup perhimpunan haram.

Bukan sekali tetapi berkali-kali hingga tidak terbilang jumlahnya. Perhimpunan itu seolah-olah kesinambungan daripada tahun 1974 dulu.

Saya berpeluang menyaksikan sendiri perhimpunan dan perarakan reformasi dari kompleks membeli-belah Sogo melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman berakhir di Masjid Negara. Para penyokong dan demonstran menyanyikan lagu-lagu patriotik dan Jalan Tuanku Abdul Rahman penuh dengan manusia bersorak sorai.

Perarakan ini diadakan secara terancang pada setiap petang Sabtu. Sekitar kawasan itu menjadi gegak gempita dengan hon kenderaan dan tempik sorak. Lorilori FRU yang berwarna merah saga berderet sepanjang di Jalan Raja.

Pegawai dan anggota FRU bertungkus lumus menyurai – meriam air dan rotan sebesar kelingking dilibas kiri dan kanan.

Itulah kali pertama saya menyaksikan dari dekat perhimpunan dan perarakan haram di Kuala Lumpur. Diadakan hingga beberapa minggu dan seolah-olah menjadi acara mingguan di tengah Kuala Lumpur.

Sebenarnya saya tidak tahu matlamat pihak yang menganjurkan perhimpunan ini. Anwar bukan dipecat oleh orang di Jalan Tuanku Abdul Rahman, tetapi mengikut lunas undang-undang.

Saya berdiri di tepi kaki lima dan melihat gelagat penyokong yang seolah-olah ‘panglima perang’. Tetapi mereka inilah juga yang awal-awal lagi bercempera menyelamatkan diri apabila FRU melibas rotan. Baru rotan sebesar kelingking pun sudah gelabah. Inilah antara adegan yang sempat dirakam dalam ingatan.

Dari kaki lima juga saya melihat orang ramai mudah diheret sentimennya terhadap sesuatu yang tidak diketahui dengan tepat.

Pengalaman berada di tengah-tengah jerit marah itu sebenarnya suatu yang sangat berharga kepada saya. Manipulasi sentimen umum berlaku tanpa sedar dan perhimpunan semakin menjadi senama dengan Kuala Lumpur.

Peniaga-peniaga di pasar malam di belakang deretan kedai Jalan Tuanku Abdul Rahman menerima tempias yang bukan kecil. Sebelum diadakan perhimpunan secara mingguan itu, orang ramai bebas datang ke pasar malam. Tetapi apabila perhimpunan serentak dengan pasar malam, jumlah pengunjung hilang mendadak.

Aliran kehadiran pengunjung terganggu. Barangkali mereka mengelak suasana yang tidak menentu, apa lagi dengan jumlah demonstran yang begitu banyak. Jalan Tuanku Abdul Rahman tidak ditutup, bagaimanapun kenderaan bergerak perlahan macam siput babi kerana perarakan menguasai seluruh jalan.

Khabarnya mereka keluar beramai-ramai untuk memperjuangkan keadilan kepada pemimpin yang disokong. Tetapi masa yang sama mereka lupa keadilan kepada peniaga-peniaga malam yang kehilangan pelanggan.

Apabila tidak ada pelanggan mereka kehilangan pendapatan. Siapa yang memperjuangkan keadilan untuk mereka?

Disebabkan terlalu kerap berlaku perhimpunan haram, warga Kuala Lumpur pun sudah mulai menerima hakikat hidup dalam normal baharu.

Mereka mulai belajar hidup dalam halangan yang dicetuskan oleh perhimpunan haram. Ada bermacam-macam perhimpunan. Ada baju kuning, baju ungu dan macam-macam warna lagi seperti pelangi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas