Berita

Jangan segan tunjuk kasih sayang – Naim Daniel

BAGI Naim, kasih sayang yang disebarkan oleh arwah patut dicontohi masyarakat bagi mengelakkan tekanan dalam tempoh PKP.
- Diterbit 15 Ogos 2021 4:00 AM MYT

KEGANASAN rumah tangga dilaporkan meningkat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Kebanyakan kes berpunca daripada desakan kewangan dan tekanan hidup sehingga ada yang bertindak mencederakan pasangan atau ahli keluarga yang lain.

Oleh itu, penyanyi Naim Daniel, 23, mengajak masyarakat mengambil contoh pen[1]yanyi Allahyarhamah Siti Sarah yang sering menyebarkan elemen kasih sayang berkeluarga dalam media sosial.

Katanya, antara yang dilakukan Allahyarhamah kepada keluarga tercinta adalah menjaga suami dengan baik, sentiasa memasak untuk keharmonian keluarga di samping bijak memainkan peranan sebagai isteri serta ibu dan sebagainya.

Bagi Naim, kasih sayang yang disebarkan oleh arwah patut dicontohi masyarakat bagi mengelakkan tekanan dalam tempoh PKP.

“Selepas pemergian Allahyarhamah Siti Sarah, kita dapat lihat semua rakyat Malaysia bersatu. Kita juga dapat melihat bagaimana tanggungjawab dan besarnya pengorbanan Sarah.

“Kehilangan Sarah telah membuka mata ramai orang untuk berkasih sayang. Selepas ni janganlah berasa segan untuk menunjukkan rasa cinta dan rekod sebanyak mungkin kenangan bersama keluarga.

“Mungkin ini (pemergian Sarah) adalah cara untuk Allah tegur kita agar sentiasa kembali kepadaNya. Pemergian Sarah boleh buka hati kita semua. Sama-sama fikir balik, apa yang kita tertinggal sebelum ini,” luah Naim Daniel sejurus lepas sesi bacaan Yaasin secara virtual bersama rakan-rakan artis dan media.

Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin juga mengaku antara pengalaman manis bersama Allahyarhamah Siti Sarah adalah, apabila diberi peluang mencipta lagu untuknya walaupun tidak sempat diterbitkan.

“Dia memberi kepercayaan kepada saya untuk mencipta lagu untuk dia. Dialah orang pertama yang betul-betul minta lagu secara terus dengan saya. Allah permudahkan.

“Kalau dengar lagu tu kita tahu ironinya tentang kehilangan. Sekarang, saya tak nampak ke mana lagi jiwa lagu itu selepas Sarah.

“Ayuhlah kita sama-sama berdoa agar arwah dipeluk Allah dengan kemas dan berada dalam kalangan orang beriman,” ujarnya lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas