4 FILEM ANTARABANGSA MENARIK DI NETFLIX

4 FILEM ANTARABANGSA MENARIK DI NETFLIX

BARU-BARU ini sudah diumumkan mengenai kelonggaran bagi individu yang mempunyai dua dos lengkap. Akan tetapi kebanyakkan kelonggaran tersebut hanya untuk negeri yang berada di fasa kedua, ketiga dan keempat. Bagi warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya diharap bersabar ye kerana kedua-dua negeri ini masih berada dalam fasa satu.

Jom habiskan masa dengan menonton filem-filem menarik di Netflix sambil itu mengubat hati kerana PKP yang berpanjangan. Memandangkan kita sudah biasa layan dan menonton filem barat (mat saleh). Kali ini, Wilayahku kongsikan empat filem antarabangsa (foreign language) yang menarik untuk ditonton.

 

#1 So Much Love to Give

Pengarah: Marcos Carnevale
Pelakon: Soledad Villamil, Adrian Suar, Gabriela Toscano

SEBUAH filem komedi Sepanyol ini mengisahkan mengenai Fernando yang sukses tetapi mempunyai dua buah keluarga. Seorang lelaki yang baik, romantik dan penyayang tetapi kesilapannya mempunyai dua buah isteri tanpa pengetahuan kedua isterinya bahawa mereka bermadu.
Suatu hari, Fernando ditimpa kemalangan dan tidak sedarkan diri. Apabila menyedarkan diri, dia diberitahu bahawa pihak hospital sudah menghubungi isterinya dan sedang dalam perjalanan. Menyedari keadaan itu dia berusaha bagi mengelakkan kedua isterinya bertembung. Namun, berhasilkah usaha Fernando? Di Malaysia perkara poligami adalah dibolehkan tetapi tidak di Argentina. Ianya adalah sesuatu yang jarang berlaku untuk memiliki lebih dari satu isteri.

 

#2 Dad Wanted

Pengarah: Javier Colinas
Pelakon: Juan Pablo Medina, Ela Velden, Silvia Navarro

KISAH seorang remaja perempuan bernama Blanca yang ditakdirkan menjadi pelumba BMX yang hebat. Dia juga sering diabaikan oleh ibunya setelah kematian ayahnya di dalam sebuah kemalangan. Ibunya tidak mengizinkan Blanca untuk terus bermain basikal. Namun, keinginan Blanca ingin menyertai satu pertandingan BMX membuatkan beliau terdesak untuk mencari bapa pinjaman bagi membolehkan dirinya mendaftar pertandingan tersebut. Ketika ini, Blanca bertemu dengan Alberto, seorang bekas pelakon yang menghilangkan diri dari dunia seni setelah kematian anak perempuannya. Apabila mengetahui rancangan Blanca, Alberto mula menolak idea tersebut. Apa yang akan dilakukan oleh Blanca? Adakah Alberto akhirnya akan bersedia untuk membantu?

 

#3 You’ve Got This

Pengarah: Salvador Espinosa
Pelakon: Mauricio Ochmann, Esmeralda Pimentel

FILEM Mexico ini mengisahkan sebuah pasangan bahagia yang saling menyokong antara satu sama lain. Konflik bermula apabila si suami merasakan dia sudah bersedia untuk menjadi seorang ayah tetapi pada masa yang sama isterinya diberi jawatan tinggi oleh syarikatmya. Keadaan menjadi lebih tegang apabila suatu hari si suami terpaksa menjaga anak seorang gadis yang dikenali di sebuah bar dan pelbagai masalah muncul apabila si isteri mula mengelak dan enggan mendengar penjelasan suaminya. Filem ini menekankan bahawa komunikasi merupakan kunci utama dalam sesebuah hubungan dan dalam perkahwinan keputusan yang diambil haruslah berdasarkan kesepakatan bersama suami dan isteri. You’ve Got This bukan sahaja filem yang membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak namun ianya juga manis, menawan dan menarik.

 

#4 The Paramedic

Pengarah: Carles Torras
Pelakon: Mario Casas, Ďeborah François

THE PARAMEDIC merupakan filem thriller jenayah Sepanyol yang mengisahkan seorang lelaki bernama Angel dan juga merupakan paramedik. Hari-harinya dihabiskan untuk menyelamatkan orang yang terperangkap dalam kemalangan, menolong pesakit dan mengumumkan kematian seseorang. Angel juga nampaknya mempunyai hidup bahagia dengan teman wanitanya Vane, seorang doktor haiwan. Sehingga suatu hari kemalangan yang melibatkan Angel menyebabkan dia lumpuh dari pinggang ke bawah. Angel tidak dapat bekerja dan melakukan banyak perkara untuk dirinya sendiri. Setelah lumpuh, sikap Angel semakin teruk, dia menjadi semakin pemarah dan tidak mempercayai kekasihnya. Kemarahan Angel berubah menjadi tindakan balas dendam yang kejam terhadap mereka yang menurutnya telah menzalimi dirinya. Dengan menggunakan kemahiran perubatannya, Angel menerapkan skema balas dendam yang paling jahat.

-WILAYAHKU- DIANA AMIR

CATEGORIES