MASAKAN ibu tentunya yang terbaik. Ada yang bercadang nak buat makan-makan dan tercari-cari menu sedap tapi mudah masak untuk keluarga sempena cuti minggu? Ini antara menu-menu masakan yang sesuai disediakan dan boleh dijadikan sajian istimewa keluarga dari pagi hinggalah malam. Semuanya sangat sedap, mudah dan membuka selera. Selamat mencuba!
NASI DAGING
BAHAN-BAHAN
1 kg daging
1 kg beras Basmati
1.5 kg air
½ tin susu cair
2 sudu makan rempah kurma
2 sudu makan minyak masak
1 sudu makan minyak sapi
1 kiub pati daging
1 helai daun pandan
2 biji tomato
Garam secukup rasa
BAHAN REMPAH PENUMIS
1 batang kulit kayu manis
5 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawing
5 biji buah pelaga
BAHAN HIRIS
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
3 cm halia
BAHAN AIR ASAM
10 biji cili merah
10 biji cili padi
30 gram belacan
Ikan bilis
Gula
Garam
2 biji tomato
2 biji bawang besar
2 sudu makan kerisik
1 cawan air rebusan daging
1 sudu makan pes asam jawa
1 sudu makan sos cili
1 sudu makan sos tomato
CARA PENYEDIAAN
- Panaskan minyak sapi dan minyak masak dalam periuk. Tumis rempah penumis dan bahan hiris hingga wangi.
- Masukkan rempah kurma. Kacau rata dan masukkan sedikit air. Kacau hingga pecah minyak.
- Masukkan beras yang telah ditoskan. Kacau seketika bersama daun pandan.
- Masukkan separuh dari hirisan daging, air rebusan daging, susu cair, kiub pati daging dan tomato. Perasakan dengan garam secukup rasa.
- Pindahkan periuk ke dalam rice cooker dan masak seperti biasa.
- Untuk menyediakan air asam, satukan semua bahan dan kacau rata.
- Hidangkan bersama nasi daging.
SATE DAGING GORENG
BAHAN-BAHAN
1 kg daging hiris kecil dan nipis
200 gm kacang tanah
½ cawan gula
Garam secukup rasa
Minyak masak
BAHAN KISAR
20 tangkai cili kering
10 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
3 cm halia
4 batang serai
2 cm lengkuas
1 sudu makan serbuk kunyit
1 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk jintan putih
CARA PENYEDIAAN
- Cuci daging bersih-bersih dan toskan airnya.
- Masukkan daging ke dalam mangkuk bersama bahan kisar, garam, gula dan kacang tanah. Gaul rata dan sebati.
- Tutup bekas daging dan perap semalaman dalam peti sejuk.
- Apabila sedia untuk dimasak, keluarkan dari peti sejuk dan biarkan pada suhu seketika.
- Panaskan minyak masak dalam kuali non-stick, goreng sate guna api sederhana. Bila masak, angkat dan tapis sate tadi bagi membuang lebihan minyak.
- Jika sate agak kering semasa dimasak, masukkan air perapan daging dengan secukupnya.
- Masakan istimewa ini sedia untuk dihidangkan.
BUBUR CANDIL PANDAN
BAHAN-BAHAN
600 ml santan pekat
200 gm tepung gandum
250 gm gula
250 air perahan daun pandan
2 helai daun pandan
Secubit garam
CARA PENYEDIAAN
- Uli tepung gandum bersama air perahan daun pandan sehingga menjadi doh yang agak lembut.
- Bentukkan doh menjadi bebola kecil atau lonjong atau mengikut bentuk yang diingini.
- Celur doh sehingga ia menjadi lembut kemudian toskan.
- Di dalam periuk yang berlainan, satukan santan, gula dan daun pandan. Didihkan sehingga ia hampir mendidih.
- Masukkan doh candil yang telah direbus terlebih dahulu berserta secubit garam. Didihkan lagi untuk beberapa minit sehingga semua bahan menjadi sebati.
BUBUR JAGUNG SAGU
BAHAN-BAHAN
200 gram jagung
100 gram sagu
700 ml santan
250 gram gula melaka
100 gram gula
2 helai daun pandan
CARA PENYEDIAAN
- Satukan separuh santan bersama jagung, gula melaka, gula dan daun pandan.
- Didihkan sehingga gula menjadi hancur dan jagung menjadi lembut.
- Masukkan separuh lagi santan dan sagu.
- Didihkan hingga semua bahan sebati dengan menggunakan api yang kecil.
BUBUR PULUT HITAM
BAHAN-BAHAN
600 ml santan
250 gram pulut hitam
250 gram gula
2 helai daun pandan
Secubit garam
CARA PENYEDIAAN
- Rendam pulut hitam di dalam periuk selama sejam kemudian rebus sehingga ia menjadi empuk.
- Di dalam periuk, satukan santan, gula, dan daun pandan. Didihkan sehingga ia hampir mendidih.
- Masukkan pulut hitam dan secubit garam.
- Didihkan lagi sehingga semua bahan menjadi sebati.