Berita

Operasi bersepadu perairan Labuan

RITHUAN (tengah) menyerahkan jalur gemilang kepada Ahmad Jawila (depan,hujung kanan) sebagai gimik pelancaran Ops COVID-19 Bersepadu pada Isnin.
- Diterbit 8 Ogos 2021 2:00 AM MYT

JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan melancarkan Ops COVID-19 Bersepadu membabitkan 13 agensi penguatkuasaan bagi pengawalan dan pemantauan dikawasan perairan Labuan bagi memastikan tiada berlakunya pencerobohan kemasukan ke pulau itu.

Pengerusinya, Rithuan Mohd Ismail berkata, Ops Besepadu itu dilaksanakan berdasarkan tindakan susulan yang telah dilaksanakan oleh JPBD sebelum ini bagi memastikan Labuan bebas COVID-19.

Katanya, operasi itu membabitkan pengawalan dan penguatkuasaan dikawasan darat, pesisir pantai dan perairan Labuan bermula pada 2 Ogos. Ops Bersepadu ini diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan disertai 13 agensi kerajaan (penguatkuasa) iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam diRaja Malaysia (JKDM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Imigresin Malaysia (JIM), Jabatan Laut Labuan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Perbadanan Labuan (PL), Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM), Jabatan Perikanan dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Tujuan ops ini adalah bertujuan bagi mengekalkan momentum kita yang mana Labuan telah mencatatkan 80 peratus imuniti kelompok dan memastikan Labuan menjadi Wilayah Persekutuan hijau iaitu bebas dari pandemik COVID-19,” katanya kepada pemberita di Majlis Pelancaran dan menyertai Ops COVID-19 Bersepadu di perairan Labuan pada Isnin.

Rithuan berkata pelaksanaan Ops COVID-19 Bersepadu turut memfokuskan pengawalan dan penguatkuasaan terhadap kemasukan individu daripada luar ke Labuan dengan pintu masuk yang sah sepertimana yang telah ditetapkan oleh JPBD.

“Ia adalah bagi mengawal kemasukan individu dan kumpulan dari luar ke Labuan melalui saringan dan tapisan dan kita ingin memastikan tiada pencerobohan di laluan tikus.

“Individu atau kumpulan dari luar yang ingin memasuki Labuan mestilah melalui pintu masuk yang sah.

“Penduduk tempatan perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat berkaita pencerobohan pendatang haram atau mereka yang melakukan perjalanan tanpa permit polis katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Ahmad Jawila berkata, operasi itu akan membabitkan 170 anggota daripada 13 agensi yang terlibat.

Katanya, operasi itu akan dijalankan selama 24 jam setiap hari bagi melakukan pengawalan dan pemantauan di sepanjang pesisir pantai sejauh 33 kilometer.

“Labuan memiliki garis pantai sepanjang 66 kilometer, daripada jumlah itu, 33 kilometer adalah garis pantai hadapan dan selebihnya tidak dijaga dan menjadi laluan haram untuk pendatang haram.

“Kita (penguatkuasa) ingin memastikan tiada pencerobohan di sekitar perairan Labuan dan memastikan pengembara yang memasuki Labuan perlu melalui pintu masuk yang diwartakan iaitu terminal feri dan Lapangan Terbang Labuan,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas