Berita

Fasa 3: Labuan ‘merdeka’ awal

MENURUT Senator Datuk Bashir Alias, pulau bebas cukai itu boleh beralih ke Fasa Tiga di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada bila-bila masa minggu depan.
- Diterbit 8 Ogos 2021 2:00 AM MYT

PERALIHAN kepada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh Malaysia masih lagi bergelut dengan situasi getir peningkatan kes harian COVID-19, menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak dan Perlis seolah-olah menyambut ‘kemerdekaan’ lebih awal.

Malah, sejajar bulan Kebangsaan negara ini, kebebasan dalam menjalankan semua aktiviti ekonomi (kecuali aktiviti dalam senarai negatif seperti pub dan kelab malam), pembukaan pasar malam serta rentas daerah dan makan di restoran, umpama bantuan pernafasan kepada rakyat terlibat.

Bagi warga pulau bebas cukai itu juga, peralihan yang bermula 4 Ogos lalu membolehkan rakyat yang keadaan kewangannya hampir ‘nazak’ kembali sembuh selepas sekatan beberapa sektor ekonomi dibuka semula.

Ekoran pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang Fasa 2 PPN pada Rabu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa menarik nafas lega dan mengucapkan syukur.

Menerusi ciapan di Twitter rasminya juga, beliau, berkata, lebih 80 peratus penduduk Labuan sudah menerima vaksin penuh selain kemudahan hospital juga sudah kembali seperti sebelumnya.

Beliau juga memaklumkan, pihaknya akan merancang pembukaan semula kegiatan ekonomi dan sosial rakyat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Alhamdulillah, mulai lusa 4 Ogos, Wilayah Persekutuan Labuan terus bergerak ke Fasa 3 Pemulihan. Dengan lebih 80 peratus penduduk siap divaksin, kes rendah dan kemudahan hospital kini kembali lega, kita boleh merancang untuk membuka semula kegiatan ekonomi dan sosial rakyat dengan SOP yang bersesuaian. Insya-Allah,” twiternya.

Terdahulu, peralihan tersebut dibuat selepas penelitian perkembangan semasa PPN yang dibentangkan Menteri Penyelarasnya, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Bagaimanapun, sektor pendidikan termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, institusi latihan kemahiran dan institusi-institusi pendidikan lain di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta agensi lain tertakluk kepada takwim KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta penilaian risiko semasa Kementerian Kesihatan (KKM). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas