Berita

Kurangkan kes kematian COVID-19

- Diterbit 5 Jun 2021 12:00 AM MYT

INISIATIF Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Program Saringan COVID-19 secara percuma bermula Sabtu ini (5 Jun) dilihat dapat mengurangkan kes kematian tanpa diagnosis.

Pakar Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Marzuki Isahak berkata, saringan wabak secara besar-besaran yang bakal dilaksanakan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), adalah sangat bagus.

Ini kerana, jelas beliau, langkah yang diambil itu membolehkan individu positif dikenal pasti serta dapat diasingkan daripada terus menjadi ‘penyebar’ wabak.

“Apabila kita dapat jumpa kes-kes positif ini yang tidak dapat dikenal pasti melalui saringan bersasar oleh Kementerian Kesihatan, jadi kita boleh tolong dari segi mengasingkan mereka.
“Selain itu, program itu juga membolehkan pesakit kategori tiga dan ke atas dikenal pasti yang mana kita boleh masukkan mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Menurut beliau, pada masa sama, kes kematian tanpa mempunyai diagnosis COVID-19 akan turut dikurangkan.

Mengambil contoh saringan besar-besaran yang dilaksanakan di Selangor, kata beliau, kadar positif yang dikenal pasti daripada program itu sangat tinggi iaitu 7.9 peratus.

“Oleh itu, dalam kawasan lain seperti Kuala Lumpur, ­kadar ­positif pada masa ini adalah 5.72 ­peratus iaitu 4,459 orang. Sekiranya ­ditingkatkan lagi jumlah saringan di Kuala Lumpur, kita pasti akan jumpa lebih banyak kes positif di situ,” katanya.

Dalam pada itu, belia ­berkata, program saringan perlu seiring dengan pengasingan individu positif, memberi rawatan seterusnya ‘vaccinate’ (sebaik mungkin mempercepatkan proses vaksinasi).

Tambahnya, pemberian vaksin juga perlu memfokuskan warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit komobid sekali gus mengurangkan kes kematian golongan berisiko.
Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa memaklumkan, pelaksanaan saringan komuniti COVID-19 jenis RTK-Ag secara bersasar dan percuma membabitkan kumpulan pertama 20,000 warga emas dan rentan akan dimulakan awal Jun ini di kawasan PA, PPR, kampung tradisi serta lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Wilayah Persekutuan dengan jadual saringan akan dimaklumkan kemudian.

Pelaksanaan itu antara tujuh Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) 5.0 untuk kemudahan dan mengurangkan beban warga Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan yang ­terkesan dengan pelaksanaan PKP 3.0 khususnya golongan B40 dan miskin bandar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas