Berita

YWP prihatin mangsa insiden lrt

ZAIZALNIZAM (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa di Bandar Tun Razak, Cheras baru-baru ini. ZAIZALNIZAM (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa di Bandar Tun Razak, Cheras baru-baru ini.
- Diterbit 4 Jun 2021 1:18 PM MYT

MINGGU lalu negara digemparkan dengan insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung di kawasan antara stesen Kampung Baru dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) membabitkan 213 penumpang dengan 65 daripadanya cedera termasuk 46 parah.

Prihatin dengan ­nasib yang ­menimpa mangsa, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) tampil menghulurkan sumbangan kepada enam keluarga yang terjejas teruk dengan ­insiden tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun, satu keputusan ­sebulat suara memutuskan untuk ­menghulurkan sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM3,000 kepada setiap keluarga.

“Sumbangan ini melibatkan mangsa yang terjejas teruk dengan kemalangan tersebut antaranya yang dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) serta yang terpaksa melakukan pembedahan,” kata beliau.

Tambah Zaizalnizam lagi, peruntukan di bawah sumbangan sosial itu merupakan antara peranan YWP yang sentiasa cakna dengan hal yang berlaku di Wilayah Persekutuan.

“Kita berada di Wilayah Persekutuan dan apa-apa yang berlaku di sini, Insya-Allah kita akan lihat dan jaga kebajikan mangsa,” ujarnya yang turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua penumpang yang terlibat.

Selain daripada sumbangan wang tunai, YWP juga turut menghulurkan bantuan berupa bantuan barangan asas kepada mangsa sebagai sagu hati.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan agar jangan sesekali menganggap LRT tidak selamat memandangkan ini merupakan kali pertama insiden sebegitu berlaku.

“Janganlah kerana kemalangan itu kita fikir kenderaan awam ­kita tidak selamat, usah berasa serik menggunakannya. Dalam masa yang sama, kita tidak ­seharusnya mengambil pendekatan dengan mengatakan ini adalah kegagalan kerajaan,” tegas beliau.

Terdahulu, YWP menerusi Pengerusinya, Tan Sri TPr Annuar Musa menyampaikan sumbangan kepada dua buah keluarga mangsa iaitu Siti Nuraliah Hashim di Desa Baiduri, Cheras dan S. Kumuthini di Bandar Tun Razak, Cheras. -WILAYAHKU-

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas