Berita

Rancangan TV sebagai medium dakwah, Zulkifli puji usaha TV AlHijrah

|||ZULKIFLI menyampaikan bubur lambuk kepada wakil Skuad Hijrah Bubur Lambuk
- Diterbit 11 April 2021 2:22 AM MYT

RAMADAN tiba lagi. Inilah bulan yang yang dipenuhi dengan rahmat dan keberkatan serta sangat istimewa bagi seluruh umat Islam.

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendak ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Jadi, gunakanlah kesempatan ini untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Selain menjalani ibadat yang dituntut dalam Islam, masyarakat boleh memantapkan lagi keimanan dengan menonton rancangan yang sarat dengan mesej namun santai serta mudah diserap dalam diri.

Ini diakui sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri,52, yang menyokong penerbitan rancangan oleh TV AlHijrah.

“Apa yang saya hasratkan atau minta kepada TV AlHijrah agar dapat terus melahirkan program-program yang menjadi minat utama khalayak masyarakat dan saya tidak bataskan kepada Malaysia sahaja bahkan Nusantara. Kalau kena caranya, mungkin boleh ke persada antarabangsa.

“Kami sentiasa menyokong dan cara sokongan tersebut dengan adanya kerjasama dengan majlis agama atau agensi-agensi lain.

“Dengan tambahan program yang bakal disiarkan pada Ramadan dan Syawal, kami mengharapkan kualiti dan promosi yang ada boleh memainkan peranan sebagai medium dakwah dan kami akan sentiasa menyokong,” jelas Zulkifli pada sidang media Pelancaran Program Ramadan TV AlHijrah pada 6 April baru-baru ini.

ZULKIFLI bersama Pengerusi TV AlHijrah, Datuk Hussamuddin Yaacub (kiri) dan Pengurus Besar Kejuruteraan dan Sokongan Penyiaran TV AlHijrah, Suffian Hj Yahya

Zulkifli juga percaya program atau rancangan Islamik yang menepati cita rasa khalayak akan menjadi ikutan masyarakat.

“Apabila kita boleh menampilkan sesuatu yang diminati khalayak, maka kite boleh memikat dan menaung hati khalayak masyarakat Malaysia.

“Dalam Masa yang sama, perlu dilihat apa yang perlu ditambah baik dari semasa ke semasa. Insya Allah dengan kerjasama semua pihak termasuk agensi-agensi bawah saya, kita akan lebih ke hadapan,” ujarnya lagi.

Antara program menarik di TV AlHijrah sepanjang Ramadan adalah drama Andai Ini Ramadan Terakhir, animasi kanak-kanak Omar dan Hana serta program tazkirah Aura Al-Qadar,Ihya Ramadan, Ittabiouni, My #hadithtime, Haflah dan Hijrah Berselawat.

Terdapat juga dokumentari Islam iaitu Al-Farabi Permata Kazakhstan dan rancangan masakan Camca Edisi Ramadan.

Skuad Hijrah Bubur Lambuk

Bermula 15 April ini, sepuluh buah motosikal yang membawa imej TV AlHijrah akan membuat edaran di lima belas lokasi terpilih sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Ini adalah sebuah program khidmat masyarakat sepanjang Ramadan yang membawa penonton ke lima belas lokasi agihan bubur lambuk bersama personaliti dan pendakwah terkemuka negara.

ZULKIFLI menyampaikan bubur lambuk kepada wakil Skuad Hijrah Bubur Lambuk

Mereka turut menyantuni petugas barisan hadapan di Hospital Besar Kuala Lumpur, Balai Polis Pantai serta lokasi-lokasi tumpuan lain seperti kawasan sekitar Chowkit, perkampungan Orang Asli Gombak, Stesen LRT dan masjid-masjid terpilih. Agihan bubur lambuk ini menggunakan khidmat motosikal yang membawa imej TV AlHijrah.

Projek ini mendapat kerjasama Cinta Gaza Malaysia, Makmur Gold dan Red Wheels Trading. – WILAYAHKU

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas