BELUM lagi reda rasa kecewa apabila beberapa babak penting dalam drama bersiri seram Aku Yang Kau Gelar Isteri dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), pengarah drama ini Shuhaimi Lua semakin terkilan dengan tuduhan netizen.
Shuhaimi dikatakan kononnya tidak sensitif dengan agama apabila menampilkan babak cucuk susuk ke dalam alat sulit Laila, karakter yang dibawa Sharifah Sakinah dalam drama tersebut.

Ini adalah antara babak yang dipotong oleh LPF selain adegan muntah darah keluar rambut dan memasang susuk ke wajah.
“Dalam berkarya, saya masih tahu sensitiviti agama Islam yang perlu dijaga. Jangan ingat saya ‘belasah’ sahaja ketika mengarahkan drama ini.
“Saya pernah belajar tentang sensitiviti agama dalam drama yang dianjurkan oleh FINAS (Perbadanan Kemampuan Filem Nasional Malaysia) dan LPF. Saya sendiri tahu apa yang boleh atau tidak boleh dalam mengarah drama seram.

“Disebabkan itulah saya menonjolkan babak tertentu dengan cara simbolik atau unsur metafora (perlambangan) untuk babak cucuk susuk pada alat sulit. Misalnya jarum dan reaksi muka pelakon sudah cukup menggambarkan apa yang berlaku. Bukannya tunjuk alat sulit.
“Namun, apabila babak yang simbolik ini dipotong, ia sedikit sebanyak mengganggu jalan cerita serta kefahaman penonton terhadap mesej yang ingin disampaikan.
“Pengajaran yang ingin saya tonjolkan tidak sampai ke hati penonton,” luah Shuhaimi yang mengaku terkilan dengan pemotongan babak-babak penting dalam drama berkenaan.

Menurut Shuhaimi, babak-babak yang dipotong adalah antara adegan yang memerlukan komitmen tinggi pelakon dan krew.
“Babak-babak yang dipotong itu adalah jantung kepada drama ini. Itulah kelainan yang ingin saya tonjolkan berbanding drama-drama lain arahan saya sebelum ini.
“Nama pun kisah seram, mestilah jalan cerita kena seram disusuli dengan mesej pengajaran.
“Kecewa memanglah kecewa. Tidak mudah untuk kami jayakan satu persatu babak. Tidak semudah yang dilihat.
“Apa-apa pun saya akur dengan LPF kerana mereka ada alasan tersendiri. Cuma apa yang saya cakap ini hanya sekadar luahan peribadi, tiada niat untuk salahkan sesiapa,” ujarnya lagi yang berpuas hati dengan lakonan semua pelakon seperti Sharifah Sakinah, Nadia Brian, Datuk Adi Putra, Lana Nordin, Atiq Azman dan ramai lagi.

Jangan lupa terus tonton drama bersiri Aku Yang Kau Gelar Isteri di slot Samarinda (TV3), pukul 10 malam setiap hari Isnin hingga Khamis.
Sinopsis Aku Yang Kau Gelar Isteri
Mengisahkan apabila Laila (Sharifah Sakinah) menyintai Eizlan (Adi Putra) dalam diam. Akan tetapi Eizlan menyintai Raihani (Nadia Brian). Lalu Eizlan menikahi Raihani. Laila patah hati dan bertemu dengan Embun (Lana Nordin).
Pada mulanya kehidupan Raihani dan Eizlan bahagia dan saling menyayangi. Akan tetapi kemunculan Laila ke kampung membuatkan kebahagiaan mereka goyah.
Kehadiran Laila membawa seribu mistik dan dendam lama yang terpendam. Berakhirkah kesengsaraan Raihani dan Eizlan ataupun mungkin mahligai cinta mereka berakhir dengan penceraian? – WILAYAHKU