Berita

Penganjuran Miss, Mrs Plus World dibantah

- Diterbit 20 Disember 2020 6:38 AM MYT

PENTAS akhir Gala Night Miss & Mrs Plus World Malaysia 2020 dijadualkan pada 2 Januari depan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, telah dibantah beberapa pihak yang mendakwa penganjurannya memberikan isyarat yang salah kepada rakyat.

Bagi Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan, pihaknya ingin membantah secara rasmi dan menzahirkan rasa kesal terhadap penganjuran acara itu yang seolah-olah melambangkan kerajaan merestui program sebegini untuk disajikan kepada rakyat.

Beliau berkata, sedangkan umumnya mengetahui pentadbiran kerajaan bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin amat serius di dalam membanteras sebarang aktiviti yang tidak menyumbang bagi pembinaan akhlak serta adab terpuji untuk rakyat.

Penganjuran program seperti ini katanya, boleh memberikan isyarat yang salah kepada rakyat terhadap kepimpinan kerajaan semasa.

“Tambahan pula didalam suasana negara sedang menghadapi pandemik COVID-19, sebarang acara atau bentuk perhimpunan tidak mendesak, harus dielakkan kerana risiko penularannya tetap ada walaupun pengajur memberi jaminan mematuhi SOP ditetapkan.

“Inilah sikap diambil oleh seluruh dunia termasuk penganjuran beberapa program hedonistik yang seumpamanyanseperti anjuran Miss World 2021,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, selain aspek persepsi, konsep penganjuran program seperti ini juga tidak pernah dibenarkan mana-mana agama terutama Islam kerana program seumpama ini lebih bersifat eksploitasi terhadap wanita serta boleh menyuburkan kembali budaya hedonistik tamadun-tamadun yang telah pupus sebelum ini.

Sehubungan itu katanya, jikalau dijustifikasikan penganjuran acara sebegini dengan usaha untuk menggalakkan aktiviti ekonomi dan sosial, maka pandangan tersebut terlalu dangkal.

Tambahnya, ini kerana, kesan limpahan ekonomi daripada penganjuran acara ini terlalu marginal sedangkan nilai murni dan sosial Malaysia yang sentiasa dibangga dengan unsur kesopanan dan kesantunan akan semakin terhakis.

“Jadi berdasarkan faktor-faktor dikemuka YADIM menyeru supaya diambil langkah yang perlu bagi memastikan program seumpama tidak dilaksana.

Keutamaan majoriti rakyat kini ialah mempergiat semula ekonomi demi kelangsungan hidup dan bukan penganjuran program sia-sia.

“YADIM juga akan menghantar memo bantahan rasmi kepada penganjur dan juga pihak berkuasa tempatan Isnin (21 Disember) sebagai komitmen organisasi dakwah ini bagi menentang sebarang penganjuran program tidak bermanfaat,” katanya.

YADIM juga ujarnya, yakin majoriti rakyat negara ini tanpa mengira agama dan bangsa tidak akan merestui program yang bukan sekadar tidak ada manfaat untuk rakyat bahkan turut mengundang kemurkaan Allah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas