Berita

KWP cadang tukar nama Jalan Eaton ke Jalan Tun Rahah 

ANNUAR beramah mesra bersama penduduk semasa Majlis Penyerahan Barang Makanan Asas dan Pelitup Muka kepada penduduk Taman Segar Cheras di sini hari ini.
- Diterbit 20 Disember 2020 6:13 AM MYT

SUMBANGAN Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah adalah sangat besar dan tidak ternilai dan pastinya ramai yang menangisi kematian beliau selain meninggalkan kesan cukup mendalam kepada rakyat Malaysia.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, bagi mengenang sumbangan Allahyarhamah, cadangan untuk menukar Jalan Eaton kepada Jalan Tun Hajah Rahah telah dimajukan setelah mengambil kira semua aspek.

“Saya telah sampaikan cadangan itu kepada Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan untuk dipertimbangkan dan akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Ketika ini saya sedang tunggu laporan terperinci dan proses penukaran nama itu perlu melalui beberapa peringkat iaitu satu jawatankuasa tempatan dan kemudian kelulusan nama-nama jalan di peringkat Kementerian.

“Dalam laporan yang sedang dalam peringkat kajian itu akan menghuraikan tentang adakah nama lama sebelum ini mempunyai sebarang kaitan warisan dan juga sejarah lama negara.

“Selain itu, nama-nama baharu yang dicadangkan itu juga perlu mempunyai merit-merit tertentu, dalam hubungan ini pada saya, Jalan Eaton sebenarnya tidak mempunyai fakta sejarah terlalu besar dan kita juga tahu jalan ini bertemu dengan Jalan Tun Razak, selain Allahyarhamah sudah mendiami rumahnya di Jalan Eaton berpuluh  lamanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Barang Makanan Asas dan Pelitup Muka kepada penduduk Taman Segar Cheras di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon Parlimen Cheras, Datuk Mahadi Abdul Syukor.

Ujar Annuar, Allahyarhamah adalah watak penting di belakang dua bekas pemimpin nombor satu negara iaitu suaminya, Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein serta anaknya Datuk Seri Najib Razak yang merupakan Perdana Menteri keenam.

“Beliau telah berada dibelakang Allahyarham Tun Abdul Razak sepanjang menjadi Perdana Menteri, pemimpin, wakil rakyay sampailah tempoh-tempoh Almarhum sakit dan kemudian meninggal dunia pada tahun 1976.

“Allahyarhamah telah menghabiskan masa 44 tahun selanjutnya untuk membesarkan anak-anaknya termasuklah Datuk Seri Mohd Najib.

“Tun Rahah juga terkenal dalam banyak aktiviti kebajikan serta membuktikan kaum wanita juga boleh memberi sumbangan berkesan kepada pembangunan negara dengan membabitkan diri dalam beberapa kegiatan kaum wanita di negara ini,” ujarnya.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhirnya pada petang Jumaat yang lalu dan telah diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara dan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan di Masjid Negara semalam.

Istiadat tersebut turut dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tuanku Aminah Maimunah Iskandariah binti Sultan Iskandar dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin serta menteri kabinet. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas