INI merupakan catatan secara langsung di lokasi medan perang melawan COVID-19 di Labuan. Saya menyaksikan kecekalan dan semangat jitu para petugas barisan hadapan kita di pulau bebas cukai ini dalam menjalankan tugasan yang merupakan satu jihad dalam menjaga keselamatan, kesihatan juga kesejahteraan masyarakat.
Wilayah Persekutuan Labuan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bermula 17 Oktober lalu susulan peningkatan kes positif COVID-19. Di kalangan barisan hadapan ini terdiri daripada petugas Jabatan
Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Rela, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Keselamatan Negara, Angkatan Tentera Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan serta agensi-agensi yang berkaitan.
Tatkala kita bersama keluarga di rumah namun mereka ini terpaksa mengorbankan masa dengan keluarga demi berjuang untuk negara tercinta susulan penularan pandemik COVID-19 melanda negara.
MENITI JAMBATAN USANG
Bagi petugas Jabatan Kesihatan Negeri Labuan Yazed Bakri, 22, berkata, cabaran bertugas di lokaliti perkampungan atas air Saguking adalah amat mencabar dan merupakan satu pengalaman baru kepadanya.
Beliau ditugaskan di Bahagian Promosi Hebahan Awam dan Pendidikan Kesihatan dalam melakukan hebahan awam mengenai kesihatan di lokaliti Saguking berkata, dia dan pasukannya perlu memasuki kawasan lokaliti dan melakukan hebahan awam memakan masa yang begitu lama.
“Setiap hari saya dan pasukan akan memasuki kawasan lokaliti Saguking bagi menjalankan tugas hebahan awam. Kami terpaksa berjalan kaki lebih daripada empat jam setiap hari bagi mengelilingi kawasan itu.
“Malahan, dalam tempoh perjalanan yang begitu jauh dan lama kami juga berhadapan dengan bahaya kerana setiap hari dan setiap masa kami terpaksa melalui jambatan yang agak usang dan rapuh,’’ ujarnya kepada Wilayahku.
Tambahnya lagi, sebagai petugas barisan hadapan namun perasaan risau dan bimbang dijangkit oleh wabak COVID-19 sentiasa bermain di fikiran.

PAKAIAN PPE
Menurutnya lagi, beliau menganggap pakaian PPE ini sebagai baju harian semenjak pandemik COVID-19 melanda megara yang menguji kesabaran serta kecekalan dalam melakukan tugas sebagai frontliner bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikekang.
“Ketika cuaca panas kami sering merasa ingin pitam, pening dan tidak selesa namun walaupun ia perit kami tetap kuatkan diri dan berusaha melaksanakan tugas yang telah dipertanggungjawabkan di atas bahu kami sebagai frontliner.
“Tidak dinafikan walaupun kami bertugas sebagai frontliner namun kami juga seperti orang biasa. Adakalanya tidak mampu menahan kepenatan, kelelahan sehari suntuk melakukan tugas yang penting. Akan tetapi kami tidak mengalah kerana kita belum menang lagi dalam perjuangan ini.
“Saya dan pasukan berharap segala usaha dan pengorbanan ini dapat membantu agar negara kita aman dan bebas daripada wabak pandemik ini,” ujarnya.
KAWALAN POS KESELAMATAN KAWASAN PKPD
Bagi Koperal Ali Jupri, penugasan di pos kawalan keselamatan di kawasan PKPD lokaliti Saguking merupakan tugas yang mencabar kepada pasukannya.
Beliau telah ditugaskan di pos kawalan keselamatan bermula 21 Oktober lalu lepas kerajaan telah mengumumkan PKPD berkuatkuasa di lokaliti Saguking.
“Tugas menjaga pos kawalan bukan mudah seperti yang disangka kerana kami berdepan dengan risiko dijangkiti wabak COVID-19 sangat tinggi dan kami sentiasa berhadapan dengan penduduk kawasan itu setiap hari.
Beliau turut berkata menjaga dan mengawal sesebuah lokaliti yang kebanyakanya didiami oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) amat sukar kerana mereka ini sering bertindak tanpa arahan.
Jika diperhatikan dari segi penjarakan fizikal satu meter ketika mengambil barang bantuan kit makanan sering kali tidak dipatuhi.
“Setiap hari kami terpaksa memberikan arahan berkali-kali agar mereka mematuhi Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan.” ujarnya.
Dalam pada itu, cabaran yang sering dihadapi ketika mengawal pos kawalan tersebut adalah kami sering kali berdepan dengan cuaca yang tidak menentu.
Adakalanya hujan lebat, angin kencang yang mengakibatkan khemah pos kawalan terbang dan rosak.
Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penguatkuasaan PKPD selama 14 hari berkenaan bertujuan membendung penularan lebih meluas COVID-19 selain membantu Kementerian
Kesihatan menjalankan saringan ke atas 8,062 penduduk yang turut diletakkan di bawah perintah pemantauan di rumah.
Bagaimanapun, PKPD di Saguking dan Sebor Baru, Labuan ditamatkan pada 3 November lalu.
Menurut Ismail Sabri Yaakob, penamatan PKPD itu susulan saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan mendapati jangkitan di dua lokaliti menurun dan terkawal.
“Saringan Kementerian Kesihatan sehingga kini mendapati kes positif COVID-19 di kawasan itu menurun dan terkawal.”
Tahniah barisan hadapan, pengorbanan anda sudah berbalas. -WILAYAHKU