Atlet Wilayah

Ratu jalan kaki wanita cuti setahun

ELENA jalani proses fisioterapi setiap hari.
- Diterbit 9 November 2020 9:16 AM MYT

ATLET jalan kaki ­wanita negara, Elena Goh Ling Yin, 24, mengakui terpaksa berehat daripada sesi latihan selama setahun ­gara-gara kecederaan lutut kiri yang dialami baru-baru ini.

Dia yang kini sedang menjalani proses pemulihan kecederaan bimbang seandainya perlu melakukan pembedahan untuk kali yang ketiga.

“Saya cuba mengelakkan ­untuk memberi tekanan ­kepada lutut. Jadi, doktor ­menasihatkan agar bercuti panjang ­selama lapan bulan hingga ­setahun bagi memastikan ia ­pulih ­sepenuhnya.

“Mujurlah, sekarang pun tiada sebarang aktiviti latihan jalan kaki yang diadakan memandangkan situasi ­COVID-19 yang agak membimbangkan, jadi saya boleh gunakan masa untuk berehat,” ujarnya kepada Wilayahku.

Tambah Elena lagi, buat masa ini, tiada ­sebarang perancangan daripada pihaknya untuk ­beraksi dalam mana-mana kejohanan yang bakal ­dianjurkan dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, ratu jalan kaki negara ini baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sains Sukan di Universiti Malaya dan berhasrat mencari pekerjaan stabil untuk menjamin masa hadapannya.

“Sama seperti orang lain, saya juga mengimpikan untuk membina karier yang sesuai dengan kelayakan saya dalam bidang akademik. Perjalanan hidup masih panjang dan saya ingin bergelar insan yang berjaya dan membanggakan ­keluarga.

“Sepatutnya bulan 11 ini ­majlis konvokesyen ­tetapi dibatalkan ­kerana ­ancaman wabak ­COVID-19. ­Walau ­bagaimanapun ­apabila ­kecederaan ini ­pulih ­sekurang-kurangnya 80 ­peratus, saya akan mula mencari kerja yang sesuai,” ujar Elena.

Ditanya sama ada ingin melupakan bidang sukan yang diminatinya, menurut Elena, setakat ini dia masih belum memutuskan sebarang keputusan. Namun, jika tiada sebarang halangan, sukan tetap akan ­diteruskan seperti biasa. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas