MENYEDARI kemahiran komunikasi penting bagi membangunkan sahsiah pelajar, 18 tenaga akademik dari Institut Sains Biologi (ISB), Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) mengambil inisiatif meluangkan masa mendidik anak-anak Orang Asli di Kampung Belihoi, Mantin, Negeri Sembilan.
Inisiatif tersebut bertujuan membantu anak-anak ini berkomunikasi dengan baik seterusnya dapat mengikuti aktiviti luar darjah secara interaktif.
Pensyarah Kanan ISB-UM, Dr Rosazlin Abdullah berkata, program Jalinan Komuniti yang diadakan bersama masyarakat Kampung Belihoi diteruskan lagi tahun ini, ujarnya.
Ia berikutan mendapat sambutan positif dari kalangan pensyarah yang teruja mendekatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan.
Beliau yang juga penyelaras program ini berkata, aktiviti ‘Motivasi Kecemerlangan Sahsiah dan Akademik’ ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan.
“Secara umumnya, fokus pengisian aktiviti kali ini bersifat motivasi ke arah pencapaian akademik murid-murid sekolah kampung ini. Secara tidak langsung, ia menjadi platform bagi pensyarah ISB dekatkan diri mereka dengan masyarakat,” katanya.