Berita

1,083 lot niaga, 13 Halal Park belum diisi – MARA

MARA kenakan kadar sewa yang lebih rendah daripada harga pasaran
- Diterbit 24 Ogos 2020 2:37 AM MYT

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) sentiasa positif dan komited memperkasa usahawan Bumiputera melalui pelaksanaan program pembangunan dan latihan selain menyedia pelbagai jenis lot premis perniagaan untuk disewa.

Pengerusinya, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, MARA melalui Bahagian Infrastruktur Komersial, menyedia sebanyak 7,249 lot premis perniagaan pelbagai kategori termasuk 103 tapak Halal Park sebagai inisiatif membangunkan usahawan halal tempatan.

Beliau berkata, bagi memastikan aspirasi MARA memperkukuh aktiviti keusahawanan seterusnya mampu memacu ekonomi setempat, agensi itu sentiasa agresif mempelbagaikan kemudahan
perniagaan melalui penyediaan 3,471 lot Bazar; Arked (1,788); Komersil Lot (1,588) dan wujudkan 299 Kawasan Industri MARA di seluruh negara.

Daripada jumlah itu katanya sebanyak 85.06% premis telah berjaya diisi dengan pelbagai jenis perniagaan diusahakan oleh usahawan setempat mahupun usahawan kecil dan sederhana.

“Daripada jumlah keseluruhannya iaitu 7,249 lot premis disediakan, sebanyak 1,083 lot masih lagi belum diisi merangkumi Bazar (203); Arked (516); Lot Komersil (329); Kawasan Industri MARA (22) dan Halal Park (13) lot premis masih kosong.

“Kekosongan semua lot premis diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan mengikut keperluan dan saiz perniagaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan media kepada akhbar Wilayahku baru-baru ini.

Azizah mengulas mengenai wujudnya lot premis perniagaan milik MARA dikosongkan segelintir usahawan berikutan beberapa kekangan semasa termasuk penularan wabak penyakit Covid-19.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Beaufort itu turut menjelaskan, dalam usaha memberikan peluang kepada usahawan Bumiputera lebih kompetitif, MARA hanya mengenakan kadar sewa yang lebih
rendah daripada harga pasaran berdasarkan saiz keluasan lot dan lokasi premis.

Kadar sewa dikenakan itu katanya, seharusnya dapat membantu para usahawan pada peringkat permulaan untuk menggunakan modal sedia ada dengan lebih bermanfaat.

“Berdasarkan peruntukan RMK-11 yang diterima daripada kerajaan bagi memperkasa usahawan Bumiputera sebanyak RM100 juta, MARA telah mengagihkan peruntukan itu kepada beberapa kemudahan yang boleh dimanfaatkan usahawan seperti kemudahan pembiayaan perniagaan, peningkatan premis perniagaan dan program pembangunan merangkumi latihan, pensijilan serta khidmat perundingan.

“Selain itu kami (MARA) turut mengenal pasti beberapa kekangan utama seperti ketersediaan untuk menjadi usahawan, kekurangan program dan latihan bersesuaian mengikut keperluan bidang usahawan tersebut serta kurangnya kemahiran usahawan dalam mengaplikasi penggunaan teknologi maklumat, secara langsung telah pun menyukarkan mereka mendapat maklumat yang terkini dengan pantas,” jelasnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas