Berita

Malakat Mall luaskan gelanggang

SOKONGAN daripada pengguna dapat meningkatkan keupayaan Malakat Mall untuk berkembang dalam menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera. SOKONGAN daripada pengguna dapat meningkatkan
- Diterbit 24 Ogos 2020 3:00 AM MYT

PELUANG yang terhad kepada usahawan Bumiputera untuk memasarkan produk mereka di kompleks beli-belah dan pasaraya di seluruh negara bukanlah satu isu yang baharu.

Walaupun terdapat banyak produk-produk seperti makanan, fesyen dan kecantikan yang diusahakan oleh Bumiputera dan dijual di dalam pasaran secara atas talian, namun ia masih gagal untuk menembusi rak-rak pasaraya besar di dalam negara.

Faktor yang menyumbang kepada perkara itu adalah disebabkan kekangan modal permulaan yang tinggi.

Ia meliputi kos sewaan rak, wang cagaran dan modal pusingan menjadi punca utama banyak barangan tempatan tidak dapat memasuki ruang-ruang niaga di kompleks membeli belah dan pasaraya di negara ini.

Selain itu, faktor pengagihan kekayaan yang tidak sekata turut dikaitkan mengapa syarikat Bumiputera masih ketinggalan untuk bersaing dengan syarikat dari luar negara.

MOHD FADZIL

Bertindak di atas perkara tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall Sdn. Bhd, Mohd Fadzil Hashim mengambil risiko untuk membuka sebuah pasaraya dikenali sebagai Malakat Mall bagi membuka peluang kepada usahawan Bumiputera khususnya orang Melayu untuk memasarkan produk mereka.

Mohd Fadzil Hashim berkata, idea untuk membuka sebuah pasaraya adalah disebabkan kekurangan ‘marketplace’ untuk usahawan Melayu memasarkan produk mereka.

“Apa yang saya dapati, masalah utama adalah ‘marketplace’ khususnya di dalam sektor peruncitan kerana seperti yang kita maklum, transaksi sebanyak RM110 bilion telah direkodkan di dalam sektor ini pada tahun 2019.

“60 peratus yang mendapat manfaat daripada nilai tersebut adalah syarikat asing manakala 32 peratus adalah lainlain kaum di Malaysia dan kaum bumiputera hanya sekitar lapan peratus sahaja,” katanya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Berdasarkan laporan tersebut, Mohd Fadzil menegaskan bahawa orang Melayu merupakan penyumbang paling besar di dalam sektor ekonomi ini namun menerima manfaat yang paling sedikit di dalam sektor peruncitan ini.

CROWDED MARKETPLACE

Menurut Mohd Fadzil, orang Melayu masih lagi ‘bertempur’ di dalam gelanggang perniagaan yang kecil atau ‘crowded marketplace’ seperti di pasar malam, pasar tani dan ramai kini secara atas talian.

“Mungkin orang kita beranggapan bahawa berniaga atas talian sudah cukup besar dan mempunyai masa depan yang cerah.

“Sekiranya kita melihat kepada data, dari RM110 bilion yang dibelanjakan dalam sektor peruncitan ini, lebih 80 peratus perbelanjaan secara offline atau di pasar-pasar besar atau lebih dikenali
sebagai kompleks beli-belah.

Kata Mohd Fadzil, usahawan Bumiputera tidak pernah didiskriminasi sekiranya mereka berhasrat untuk meletakkan produk-produk mereka di rak-rak kompleks beli-belah,” katanya.

Mohd Fadzil berkata, usahawan Melayu sering didendangkan bahawa operator ini benci kepada orang Melayu dan ia tidak berasas. Isu yang utama adalah kos untuk menyewa rak adalah mahal.

“Walaupun mereka boleh masuk dan berniaga terutama di kompleks beli-belah yang baru dibuka, mereka akan berhadapan risiko dikeluarkan apabila kompleks itu mula dipenuhi pengunjung dan jenama-jenama besar menawarkan sewa yang lebih tinggi daripada usahawan tempatan.

“Ia tidak sahaja terjadi kepada kompleks beli-belah swasta, malah ia turut terjadi kepada Kompleks KLCC, Malaysia Airport Berhad (MAB), dan di sini kita boleh kira berapa ramai orang melayu
yang berniaga di dalam kompleks-kompleks tersebut,” katanya.

PERSEPSI BURUK

Mohd Fadzil memberitahu, banyak persepsi buruk timbul apabila orang Melayu membuka kompleks membeli belah termasuk yang dimiliki oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sebagainya.

“Malakat Mall telah menjemput usahawan-usahawan Islam dan Melayu yang mempunyai jenama sendiri dan telah dikenali untuk berniaga di sini.

“Kerana di sini, kami menyediakan ruang dan peluang kepada usahawan Melayu tanpa sewa tetap. Ramai yang tidak dapat buka kedai tetapi mereka masukkan produk melalui Raudhah Grocer yang ada di dalam Malakat Mall dan ia telah memberi manfaat kepada lebih 500 usahawan Melayu sebagai pembekal di Malakat Mall.

Menurut Mohd Fadzil, melalui Raudah Grocer, usahawan tidak perlu membayar kod unit penyimpanan stok dan yuran penyenaraian sebaliknya usahawan hanya perlu membawa produk dan daftar sahaja.

Sekiranya diterima, produk itu akan terus ditempatkan di rak-rak yang ada tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi.

“Di samping itu, kami menawarkan kira-kira 15 kios kecil untuk usahawan penuh Industri Kecil Sederhana dan kita tawarkan kepada mereka saiz 8 X 10 kaki dan mereka hanya perlu membayar RM1,000 untuk utiliti dan pembahagian jualan sebanyak 10 peratus sebagai kos sewaan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas