Berita

Cabaran berniaga di pasaraya terkemuka

AMIRULLAH (kanan) sedang melayan pelanggan yang berkunjung ke kedainya di Kompleks beli-belah Sunway Putra baru-baru ini.
- Diterbit 24 Ogos 2020 2:34 AM MYT

SIAPA sangka kedai bunga yang kemas dan cantik di kompleks beli-belah Sunway Putra adalah milik usahawan muda Bumiputera.

Mitos kaum Bumiputera tidak pandai berniaga di dalam ‘mall’ terbukti tidak benar.

Selari dengan hasrat Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang mahu mempertingkatkan penyertaan usahawan muda kota di lokasi-lokasi strategik termasuk di dalam pasar raya bertaraf antarabangsa di sekitar ibu kota.

Sektor peruncitan terutama di pasar raya terkemuka mempunyai cabaran tersendiri malah mengundang persepsi buruk yang menyebabkan usahawan Bumiputera masih belum bersedia menongkah arus untuk menghadapi cabaran berniaga di tempat seperti itu.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Petals2U, Amirullah Khalid berkata, naratif mengatakan kaum Bumiputera sukar untuk berniaga di kompleks beli-belah tidak benar sama sekali kerana setiap perniagaan tentunya mempunyai cabaran tersendiri.

“Saya bermula dengan berniaga di tepi jalan dan ada cabarannya, malah menyewa premis dan kini menjalankan perniagaan di kompleks beli-belah pasti ada cabaran.

“Para usahawan perlu mengenal pasti risiko yang perlu ditanggung terlebih dahulu sebelum menjalankan perniagaan di mana-mana sekalipun,” katanya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Kata Amirullah, cabaran utama apabila memulakan perniagaan di kompleks beli-belah adalah mereka perlu menyediakan modal yang besar.

“Modal itu terdiri daripada wang deposit, deposit utiliti, kos ubah suai, kos pelan lantai dan modal pusingan yang dianggarkan sebanyak RM90,000.

“Selain itu, penyewa perlu memberikan komitmen untuk sebarang aktiviti perniagaan dan promosi yang telah ditetapkan oleh pihak operator menjadikan ia sebagai satu cabaran yang perlu dipikul,” katanya.

CEO Petals2u , Amirullah Khalid bergambar didepan kedai bunganya di Sunway Putra mall.

Amirullah berkata, sejak berniaga tiga tahun lalu di Kompleks beli-belah Sunway Putra, beliau tidak pernah berhadapan dengan diskriminasi daripada pihak operator.

“Pihak operator kompleks tidak pernah membezakan diantara penyewa Melayu atau Cina, mereka melayan dan membantu semua peniaga secara sama rata.

“Malah mereka sering akan menjemput mana-mana penyewa untuk menyertai pameran yang berlangsung di ruang legar dan sedia berkompromi dengan penyewa termasuk mendapat diskaun sebanyak 70 peratus semasa PKP baru-baru ini,” katanya.

Amirullah memberitahu, beliau merupakan satu-satunya peniaga bunga yang beroperasi di kompleks beli-belah itu dan tidak berhadapan dengan persaingan.

“Walaupun masih baru di kompleks ini, saya menganggap sebagai satu rezeki kerana ia telah melonjakkan jenama ini kerana pihak operator tidak pernah menyisihkan syarikat kami,” katanya.

Kata Amirullah, selain daripada menjalankan perniagaan, pihaknya turut mendapat kepercayaan membekalkan bunga di pejabat kerajaan.

“Melalui pengalaman yang diperolehi, kami diberikan peluang untuk membekal dan menggubah bunga-bunga segar korporat untuk sesi pembukaan parlimen sejak empat tahun lalu.

“Malah, kami turut membekalkan bunga untuk pejabat Perdana Menteri dan menteri di parlimen setiap minggu,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas