Selebriti

HAQIEM RUSLI Buka Restoran Sebab Nak Kahwin?

|HAQIEM kini buka restoran sebagai persediaan untuk masa depan.|HAQIEM bersama ayah (Rusli) dan ibunya (Nazrah).
- Diterbit 13 Ogos 2020 12:49 AM MYT

DALAM dunia ini, hidup kita ibarat putaran roda. Begitu juga dunia artis. Mungkin hari ini popular dan berharta kerana banyak tawaran, esok lusa siapa yang tahu.

Begitulah prinsip yang dipegang oleh penyanyi remaja popular Haqiem Rusli atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, 22.

Antara usaha yang dilakukan oleh Haqiem demi masa depannya adalah membuka perniagaan restoran restoran.

Dengar cerita, pembukaan restoran ini juga adalah salah satu persediaan Haqiem untuk berkahwin, betul ke?

“Kahwin? Tidak dinafikan saya buka restoran memang untuk masa depan saya dan keluarga tapi bukanlah sebab nak kahwin. 

“Calon pun belum ada lagi macam mana nak kahwin. Apa-apa pun, soal itu, saya tidak fikir sangat kerana saya mahu fokus restoran yang baru sahaja dibuka ini,” kata Haqiem kepada Wilayahku ketika ditemui dalam majlis pembukaan restorannya pada 7 Ogos baru-baru ini. 

Beruntunglah siapa yang jadi isteri Haqiem yang sentiasa memikirkan masa depan.

HAQIEM kini buka restoran sebagai persediaan untuk masa depan.

Haqiem yang popular dengan lagu Lembah Kesepian, Tergantung Sepi dan Jatuh Bangun ini mengambil masa selama tiga bulan untuk membuka restoran yang menu utamanya adalah steamboat.

“Sebenarnya saya buka kedai ini untuk masa depan sebab dalam bidang nyanyian ni tak menjanjikan yang kita akan terus berada di atas. Mungkin kalau umur kita dah tua, waktu itu tak ada job, siapa tahu.

“Saya takut, tak tahu apa yang akan terjadi pada masa mendatang, jadi saya buka kedai ini untuk back up plan dan masa depan saya, untuk hari tua saya. Jadi ada bisnes untuk saya buat.

“Perancangan ini dalam masa tiga bulan, termasuklah mencari lokasi dan ubah suai kedai. 

“Saya pilih SanThai Village sebab ia seperti suasana kampung dan santai tu macam relaks. Ejaan Thai tu merujuk kepada makanan steamboat,” jelas Haqiem yang mempunyai alasan tersendiri memilih steamboat.

HAQIEM bersama ayah (Rusli) dan ibunya (Nazrah).

Antara menu istimewa adalah steamboat kuah asam pedas.

“Saya pilih steamboat sebab bila saya dah cuba makan rasa tertarik pula. Lagi pun saya tengok ramai sekarang ini suka makan steamboat.

“Selalunya kuah steamboat adalah tom yam atau sup ayam, tapi di restoran saya kuah asam pedas sebab kami nak cari kelainan daripada kedai steamboat yang lain,” ujar Haqiem lagi yang kini sibuk menguruskan restoran jika tiada undangan nyanyian.

Restoran SanThai Village terletak di Block H, Platinum Walk, Danau Kota, Kuala Lumpur dan mula beroperasi pada pukul 3 petang hingga 12 malam.

Hanya bayaran RM25 sahaja untuk seorang, anda boleh menikmati steamboat dan juga variasi makanan lain. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas