Selebriti

BIG STAGE 2020 Patuhi SOP, Siapa Peserta Pilihan Anda!

|12 peserta yang bakal berentap di pentas Big Stage 2020 bermula 16 Ogos ini.
- Diterbit 5 Ogos 2020 10:26 AM MYT

MEMANDANGKAN negara kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), program realiti nyanyian Big Stage 2020 (musim ketiga) akan diteruskan dengan norma baharu demi menangani pandemik Covid-19.

Mengangkat tema Dimensi Berbeza Big Stage 2020 Pada Skala Norma Baharu, kali ini akan berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, Big stage musim ketiga ini agar berbeza kerana konsert mingguan diadakan berlandaskan norma baharu sesuai dengan PKPP.

“Pelbagai perubahan dilaksanakan demi mematuhi garis panduan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa antaranya penganjuran konsert mingguan dalam skala yang kecil dengan jumlah penonton yang sedikit. 

“Jika tahun sebelum ini ada peserta dari empat buah negara iaitu Brunei, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan, namun kali ini tidak dapat membuka ruang perkongsian di peringkat antarabangsa atas faktor keselamatan dan kesihatan bagi menangani krisis Covid-19,” katanya yang berharap para penonton yang hadir juga mematuhi SOP yang telah ditetapkan. 

Program nyanyian ‘budak baru nak up’ (BBNU) Big Stage musim ketiga ini menyaksikan persaingan sengit lapan peserta lelaki dan empat bintang wanita.

12 peserta yang bakal berentap di pentas Big Stage 2020 bermula 16 Ogos ini.

Para peserta lelaki yang bakal berentap adalah Usop, Azzam Sham, Yamani Abdullah, Fadh Majid, Qody, Hafiz Zainal, Amir Hassan dan Dinie Rashid. 

Manakala peserta wanita yang turut bertanding adalah Nana Sheme, Hanie Soraya, Farisha Iris dan Sandra Dianne. 

Bagi merancakkan lagi musim kali ini, Big Stage 2020 memperkenalkan Presiden Netizen bagi mewakili suara-suara netizen di laman sosial.

Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000.

Big Stage 2020 akan memulakan konsert pertamanya secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 Ogos 2020, jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas