Artikel

Realiti ancaman denggi

- Diterbit 10 Julai 2020 1:00 PM MYT

WILAYAH Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan 5,035 kes demam denggi  kedua tertinggi selepas Selangor bagi tempoh Januari hingga 14 Jun 2020.

Walaupun masih rendah berbanding Selangor (28,647 kes), ia perlu dipandang
serius kerana saiz Kuala Lumpur jauh lebih kecil daripada negeri tersebut.

Malah jumlah kes di Kuala Lumpur lebih tinggi berbanding Johor (4,648 kes), yang memberi isyarat jelas bahawa langkah kawalan dan pencegahan yang drastik perlu dilakukan.

Adi khuatir dengan status ibu negara dan kota metropolitan yang padat penduduk serta banyak tapak pembinaan, kes di Kuala Lumpur akan melonjak.

Lebih-lebih lagi Kementerian Kesihatan dalam laporan terbaru menjangkakan gelombang kedua kes demam denggi bermula awal Jun hingga September ini.

Sebanyak 50,511 kes demam denggi telah dilaporkan bagi tempoh tersebut di seluruh negara dengan mencatatkan 88 kematian.

Ketika seluruh rakyat menumpukan perhatian kepada pandemik Covid-19 yang melanda dunia, nampaknya kes demam denggi terus menghantui kita sebagai ancaman utama.

Jumlah kes tertinggi yang pernah dicatatkan di seluruh negara adalah pada 2015
dengan 120,835 kes dan 336 kematian.

Dalam kita bersungguhsungguh memerangi pandemik Covid-19, Adi berharap semua pihak melonjakkan kesedaran dan kewaspadaan terhadap ancaman denggi akibat pembiakan nyamuk aedes.

Tanggal 15 Jun lepas adalah Hari Denggi ASEAN yang bertemakan “10 Minit
Hapuskan Aedes”. Ia antara lain mengajak masyarakat meluangkan masa 10 minit
untuk melakukan aktiviti pembersihan persekitaran dan pemusnahan tempat
pembiakan nyamuk aedes setiap minggu secara kendiri.

Sebagaimana Covid- 19, demam denggi juga tidak mempunyai vaksin. Keduaduanya adalah ‘pembunuh senyap’.

Malaysia masih belum dapat mengekang wabak denggi malah hampir setiap tahun berlaku peningkatan jumlah kes ini.

Adi tertanya-tanya di mana silapnya dan apakah pendekatan kita selama ini kurang berkesan – yang mesti dicari jawapannya.

Sebagai contoh, kerja-kerja semburan asap yang menelan kos yang tinggi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk DBKL tidak begitu berkesan.

Mungkin sudah sampai masanya negara memerlukan pendekatan baharu termasuk
penguatkuasaan dan undang-undang lebih keras.

Sebenarnya kita lebih gerun dengan pandemik Covid-19 tetapi mengambil mudah ancaman denggi.

Itulah realitinya.

Cerminlah diri

Baru-baru ini berlegar dalam media sosial luahan seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat bukan kerajaan (GLC) sempena hari terakhirnya di organisasi berkenaan.

CEO berkenaan antara lain menyatakan pendirian mempertahankan prinsip dan integriti sambil mengharapkan nilai-nilai itu menjadi pegangan moral pimpinan GLC.

Adi sekadar senyum. Ia seakan menjadi trend bos-bos GLC meluahkan isi hati mereka apabila tidak disambung kontrak, ditukarkan dan digantikan.

“Ketika seluruh rakyat menumpukan perhatian kepada pandemik Covid-19 yang melanda dunia, nampaknya kes demam denggi terus menghantui kita sebagai ancaman utama.

Apabila dilantik ke jawatan itu, mereka teruja dan gembira tetapi apabila khidmat berakhir, mereka bertukar menjadi pengkritik kerajaan. Sepatutnya ambillah pendekatan budiman, bersikap realistik dan profesional.

Adi kurang senang dengan sikap mahu mencari salah pihak lain iaitu lebih tepat
ditujukan kepada pemimpin dan kerajaan.

Terdapat beberapa CEO yang cuba menggambarkan bahawa mereka maksum dan
menjadi mangsa keadaan termasuk tekanan politik dan sebagainya.

Padahal mereka sendiri mempunyai masalah-masalah tertentu termasuk sisi-sisi
gelap ketika menerajui organisasi berkenaan.

Ada yang memberi projek kepada kroni, manipulasi kedudukan syarikat untuk
kepentingan sendiri, mengamalkan nepotisme malah kepincangan yang lebih serius.

Meskipun perbuatan mereka terlepas daripada sebarang siasatan dan tindakan undang-undang, tidak bererti mereka bersih.

Jika dinding, lantai dan anak tangga boleh bercakap, pasti semua bersuara. Jadi janganlah bersikap hipokrit dan belajarlah mencermin diri.

KL celaru?

Adi ingin bertanya apa sudah jadi dengan program pengindahan dan keceriaan Kuala Lumpur? Nampaknya hal ini tidak diberi penekanan terutama berkaitan peniaga kecil dan penjaja jalanan.

Dalam kita menggalakkan warga kota mencari rezeki termasuk meniaga dan menjaja di jalanan, ia janganlah mengorbankan aspek keseragaman dalam konteks
keindahan dan keceriaan.

Sebagai contoh, tiada kawalan ke atas peniaga dan penjaja yang membina struktur tetap di bahu-bahu jalan. Ia diburukkan dengan gerai zink yang pelbagai saiz dan rupa bentuk seolah-olah Kuala Lumpur mundur 20 tahun lalu.

Pemandangan itu boleh dilihat di mana-mana antaranya di Taman Melati dan Sri Rampai. Adi tidak faham mengapa DBKL benarkan atau mendiamkan sahaja.

Bahu-bahu jalan bukan dibina untuk tujuan menempatkan kedai atau gerai-gerai bersifat kekal.

Sepatutnya jika kita mahu menggalakkan golongan itu berniaga, cukup sekadar
menggunakan khemah kanopi yang mudah dibuka dan dipasang serta  menggunakan kenderaan sahaja.

Ketika bandar raya lain di negara serantau semakin menampilkan keindahan dan
keceriaan, Kuala Lumpur seperti berada di takut lama dalam soal berkenaan.

Sudah sampai masanya Kuala Lumpur mempunyai pelan induk termasuk untuk peniaga dan penjaja jalanan. Jika tidak, ibu negara akan terus dibelenggu kecelaruan yang mencerminkan kegagalan kita.

Vandalisme

Para penghuni PPR Beringin di Jinjang Utara, Kuala Lumpur begitu gembira apabila kemudahan lif di situ telah dipertingkatkan termasuk dihiasi pelekat informasi bermanafaat untuk warga kota.

Namun tidak sampai sebulan pelekat tersebut yang diperbuat daripada kepingan keluli menjadi sasaran perbuatan vandalisme oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Inilah cabaran bagi pihak berkuasa tempatan termasuk DBKL dalam menyediakan
kemudahan yang sesuai dengan keperluan masyarakat metropolitan.

Adi berharap DBKL tidak mengalah apatah lagi berputus asa sebaliknya wajar
mengambil pendekatan lebih berkesan dalam menangani gejala vandalisme.

Ini termasuk mengesan dan mengenal pasti pelaku vandalisme itu melalui litar kamera tertutup di dalam lif untuk diambil tindakan tegas.

Sudah lama Adi tidak mendengar atau membaca di media mengenai pelaku vandalisme didakwa di mahkamah sedangkan gejala itu berleluasa. Nampaknya pihak berkuasa kita berlembut!

Adi Tuah
(Penulis bebas dengan nama samaran ini adalah anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur)

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas