Artikel

Dilema Melayu Kota Raya

KINI peluang bumiputera berniaga terbuka luas.
KINI peluang bumiputera berniaga terbuka luas. KINI peluang bumiputera berniaga terbuka luas.
- Diterbit 10 Julai 2020 12:30 PM MYT

KETIKA Sultan Puasa dan pasukannya mula meneroka Kuala Lumpur lebih satu setengah abad dahulu, barangkali tiada seorang pun di kalangan mereka yang terfikir bahawa suatu masa nanti cucu cicit mereka bukan sahaja tidak mempunyai hutan untuk ditebas, malah tidak mempunyai tanah untuk dipijak.

Tetapi itulah yang terjadi. Sejarah menjadi saksi tentang bagaimana orang Melayu – tidak kira apa juga suku bangsanya – yang dahulu bebas meneroka setiap ceruk Kuala Lumpur, kini terpaksa berpuas hati dengan melihat hutan batu dan dataran dari tingkap pangsapuri yang luas unitnya mungkin hanya 750 kaki persegi.

Tidak semua orang Melayu tinggal di pangsapuri sempit. Ada yang tinggal di banglo mewah Bangsar juga kondominium di Putrajaya.

Begitu juga yang menghuni di sekitar Kampong Baru, Batu Muda dan Segambut Dalam.

Tetapi biar di mana pun mereka, Melayu masih berkongsi perkara yang sama; kita masih tercicir dalam banyak perkara.

Banyak faktor penyebabnya. Walaupun Melayu yang membuka Kuala Lumpur, Melayu agak
terkebelakang dalam proses peningkatan jumlah penduduk di daerah yang dahulunya kaya dengan bijih timah itu.

Yang berpusu-pusu ke Kuala Lumpur adalah pelombong-pelombong Cina sehingga Frank Swettenham dalam satu catatannya menyifatkan bahawa kawasan di sekitar Sungai Kelang
adalah ‘perkampungan Cina sepenuhnya’.

Orang Melayu ketika itu berkampung di sekitar Bukit Nanas dalam jumlah yang tidak besar.

Bilangan orang Melayu di Kuala Lumpur hanya bertambah selepas Perang Dunia Kedua, apabila semakin ramai di kalangan mereka menyertai perkhidmatan kerajaan dan memilih untuk tinggal di bandar itu.

Perluasan kawasan 6 DARI ARAS 4 Dilema Melayu Kota Raya 10 – 16 JULAI 2020 perbandaran menyebabkan kampung-kampung Melayu di pinggir Kuala Lumpur dimasukkan dalam kawasan bandar turut membantu meningkatkan jumlah orang Melayu.

Dalam tempoh 10 tahun, 1947-1957 kadar penduduk Melayu di Kuala Lumpur meningkat daripada 12.5% kepada 15%, namun masih jauh lebih kecil berbanding orang-orang Cina.

Usaha menggalakkan orang Melayu berhijrah ke Kuala Lumpur dilipat gandakan selepas tragedi hitam 13 Mei 1969.

Ini menyebabkan pada tahun 1970-an dan 1980-an, perkampungan Melayu yang berstatus setinggan tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Jalan Kelang Lama, Kampung Pandan, Ampang, Datuk Keramat, Jalan Setapak menjadi antara destinasi tumpuan Melayu luar bandar yang mahu mencuba nasib di Kuala Lumpur.

Perkampungan setinggan itu mula beransur lenyap susulan tindakan serius kerajaan menangani isu tersebut.

Bahawa orang Melayu lebih bersifat intrepreneur berbanding entrepreneur. Maka yang ramai menjadi entrepreneur akhirnya adalah orang lain.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mensasarkan tahun 2005 sebagai tahun ‘setinggan sifar’. Ia kemudiannya dianjakkan kepada tahun 2008.

Walaupun sasaran itu belum tercapai sepenuhnya, namun Kuala Lumpur kini telah berjaya dibebaskan daripada imej bandar raya setinggan; satu imej yang sangat sinonim dengannya
empat lima puluh tahun dahulu.

Memindahkan setinggan, memberikan mereka kediaman yang lebih selesa dan kehidupan yang lebih baik hanyalah sebahagian kecil daripada inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan
untuk membandarkan Melayu Kuala Lumpur.

Tetapi Melayu, yang kini mewakili lebih 40 peratus warga Kuala Lumpur, masih ada lagi tercicir.

Sebahagian besar daripada mereka masih perlu bergelut untuk hidup di kota yang
penduduknya hampir dua juta ini. Kebanyakan ketua keluarga perlu melakukan lebih daripada satu kerja untuk membolehkan mereka menikmati hidup yang selesa sedikit.

Itu pun dalam banyak keadaan mereka masih berada dalam kelompok yang berpeluang untuk melihat, bukannya berpeluang untuk menikmati.

Kehidupan di Kuala Lumpur menjadikan orang Melayu semakin terhakis daripada nilai-nilai tradisionalnya. Ada ketikanya institusi kekeluargaan menjadi cagaran.

Apabila suami dan isteri terpaksa berganding mencari rezeki, masa untuk anak-anak terpaksa dikurangkan. Maka pintu kepada masalah sosial lain akan mula terbuka.

Dunia tanpa sempadan sekarang ini meluaskan lagi pintu yang terbuka itu kepada serangan pelbagai elemen yang datang dari merata sudut.

Benar, Kuala Lumpur menawarkan banyak peluang. Tetapi tidak ramai orang Melayu berpeluang merebut peluang itu.

Kekangan utama adalah kemahiran. Pasaran kerja yang sengit saingannya lebih mengutamakan mereka yang mahir. Ruang untuk menjadi mahir lazimnya tidak memihak
kepada orang Melayu.

Banyak kekangan yang menyulitkan mereka untuk mencari ilmu-ilmu baharu atau mendalami ilmu-ilmu sedia ada.

Orang Melayu sebenarnya hebat. Lihatlah siapa yang meneraju syarikat-syarikat besar berkaitan kerajaan (GLC).

Majoritinya Melayu. Hasil kerja mereka juga terbukti hebat. Namun jika dilihat secara menyeluruh ia mengesahkan satu perkara; bahawa orang Melayu lebih bersifat intrepreneur
berbanding entrepreneur. Maka yang ramai menjadi entrepreneur akhirnya adalah orang lain.

Di Kuala Lumpur peluang untuk Melayu berkecimpung dalam dunia perniagaan boleh
dikatakan luas terbuka.

Lesen, kemudahan, bantuan modal, khidmat nasihat, semuanya disediakan. Tetapi peniaga-peniaga Melayu secara umumnya masih terkial-kial mencari ruang untuk berjaya di celah-celah kehebatan rakan-rakan bukan Melayu.

Dalam sesetengah kes mereka tercicir di belakang peniaga-peniaga imigran. Apa puncanya? Ia sama dengan masalah Melayu di Sungai Besar, Alor Setar, Pontian, Mentakab atau di mana sahaja.

Mereka bergantung pada rantaian dan rangkaian yang seringkali putus-putus kerana kuasanya di tangan orang lain.

Melayu berada di hadapan dalam carta kemiskinan warga Kuala Lumpur. Mereka berada
dalam ketiga-tiga kategori kemiskinan yang dikelaskan oleh Bank Dunia pada 1988; miskin baharu (new poor), miskin biasa (borderline poor) atau miskin tegar (chronic poor).

Sama ada miskin mutlak atau miskin relatif mereka ada di situ.

Pandemik Covid-19, yang menyebabkan ramai orang kehilangan kerja dengan sendirinya akan meningkatkan jumlah golongan miskin baharu di Kuala Lumpur. Dan percayalah, kebanyakan mereka adalah Melayu.

Tinjauan ke atas gelandangan-gelandangan di Kuala Lumpur menunjukkan Melayu berada di senarai teratas. Yang mengemis dan menagih dadah pun begitu.

Kebanyakannya Melayu. Mereka adalah orang-orang yang tewas dalam menghadapi arus kitaran jahat kotaraya.

Akan ada kecenderungan menyalahkan kerajaan di atas semua dilema yang dihadapi oleh Melayu Kuala Lumpur.

Saya tidak melihatnya begitu. Kerajaan telah melakukan segala yang mungkin dari semasa ke semasa. Orang Melayu Kuala Lumpur sendiri telah berusaha sehabis daya.

Tetapi sama ada kerajaan atau mereka, masing-masing terikat dengan pelbagai faktor lain yang mengganggu kelancaran apa juga usaha.

Menyerah bukan caranya. Melayu Kuala Lumpur harus mengekalkan kekuatan jati dirinya untuk menghadapi cabaran ini. Kerajaan pula perlu menggandakan usaha, menyesuaikannya dengan tuntutan keadaan dan masa.

Peluang untuk mereka mencari pendapatan kedua, ketiga dan seterusnya perlu diperbanyakkan.

Biasakan mereka dengan budaya bekerja dari rumah supaya tumpuan terhadap keluarga dapat ditingkatkan.

100 hari perlantikan Tan Sri Annuar Musa selaku Menteri Wilayah Persekutuan berusaha melakukan agenda perubahan. Gelandangan disantuni, golongan berpendapatan rendah terus diberi perhatian. Fokus utama adalah membangunkan ekonomi rakyat.

Lagi sekali ditegaskan, orang Melayu sebenarnya hebat. Buktinya, selama lebih enam puluh tahun mereka berjaya mentadbir  dan menguruskan negara ini dengan baik; berjaya
mengangkatnya daripada tanah jajahan yang serba kurang kepada sebuah kuasa kecil yang disegani. Melayu Kuala Lumpur juga begitu.

Terus berikan masa, terus berikan sokongan dan berikan kepercayaan. Nescaya mereka akan buktikan yang mereka bukan kaleng-kaleng!

BUDIMAN MOHD ZOHDI
Penulis merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas