Artikel

Tiga bulan yang seksa

PENJARAKAN sosial perlu terus diamalkan untuk elak penularan jangkitan Covid-19
- Diterbit 12 Julai 2020 12:19 PM MYT

KITA sebagai manusia biasanya pernah mengalami mimpi. Ada mimpi yang kita alami itu biasa-biasa sahaja. Ada mimpi yang menyeronokkan, ada mimpi yang menyedihkan dan ada mimpi yang mengerikan.

Corona Virus atau Covid-19 ini umpama mimpi ngeri yang bakal menghantui hidup kita sampai akhir hayat yang apabila kita bangun dari tidurpun ianya masih menghantui walau dalam jaga.

Sepanjang hidup saya, inilah peristiwa atau boleh juga kita katakan sebagai malapetaka yang
merangkumi hampir segenap alam.

Bayangkan aktiviti rutin hidup manusia menjadi terencat kerananya. Kita tidak boleh ke masjid untuk menunaikan ibadah dan semua tempat ibadah ditutup. Ini sangat jarang berlaku terhadap peradaban hidup manusia.

Kita tidak boleh bersosial sebagaimana yang kita biasa lakukan sebagai seorang manusia
dan kita terpaksa menerima norma kehidupan baru yang janggal, kita umpama makhluk
asing antara sesama kita. Kita terpaksa jaga kita!

Anak-anak kita tidak dapat ke sekolah sepertimana biasanya. Kekal duduk di rumah sehingga suasana dan persekitaran menjadi normal, sebiasanya seperti sebelumnya yang kita biasa amalkan.

Dari sudut ekonominya pula, kita kehilangan sumber pendapatan, pekerjaan, kerugian dan kita hampir kalah dalam permainan fasa hidup yang gila ini!

Ramai rakan saya yang mencari makan sebagai pemuzik, tidak kiralah samada mereka itu dari golongan professional mahupun amatur yang bergantung hidup sebagai pemuzik dalam mencari rezeki, habis! Rezeki mereka terhenti tiba-tiba.

Sewaktu pengumuman dari perdana menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang PKP
akan bermula pada 18 Mac 2020, kita sudah bayangkan ini bukanlah perkara yang main-main dan ini bukanlah satu petanda yang baik untuk umat manusia.

Umat Islam pula menyambut hari raya puasa tahun ini dalam keadaan yang aneh,dengan SOP, jarak sosial dan sebagainya, inilah pertamakali dalam sejarah kita menyambut suasana hari raya yang tidak seperti hari untuk kita beraya.

Nasib baiklah Covid-19 ni melanda di zaman digital yang serba moden dengan Facebook, Instagram, YouTube dan sebagainya. Bayangkan kalau wabak ini melanda kita 20 tahun dulu, di zaman telefon bimbit Nokia 3310, apapun tak jadi, melainkan melopong mengharapkan keajaiban yang akan turun dari langit.

Sekurang-kurangnya bagi golongan busker mahupun pemuzik, dapatlah mereka membuat persembahan online di internet. Caranya sertakan nombor akaun bank kita bagi sesiapa yang mahu menyumbang setelah menonton persembahan kita ,dan sekurang-kurangnya bagi peniaga dapatlah juga mereka berniaga secara online untuk mencari rezeki.

Dan Covid-19 ini juga memberi sumber rezeki pada golongan pekerja Grabfood atau Foodpanda. Segalanya di online! Kita perlu membiasakan norma hidup baru.

Walaupun pendapatan busking online ini tidak sama seperti kita bermuzik di jalanan di hadapan khalayak, namun sekurang-kurangnya ia dapat membantu dari segi pendapatan,
daripada tidak ada sumber pendapatan langsung.

Suatu yang pasti, kita patut memberikan rasa hormat dan pujian kepada pekerja barisan
hadapan terutama kepada Ketua Pengarah Kesihatan (KPK), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang saban hari akan membuat kenyataan akhbar tentang perkembangan semasa wabak Covid-19 ini.

Tapi bila kita fikir balik, tiga bulan saja Allah tarik sedikit nikmat hidup dan keselesaan kita sebagai insan, itupun kita dah menggelupur. Hargailah nikmat kebebasan.

Oleh MEOR YUSOF AZIDDIN MEOR HASSAN
Pemuzik & Penulis Buku

 

* Pandangan ini tidak semestinya mewakili akhbar Wilayahku.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas