LABUAN – Nasib 300 asnaf di sini yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat perhatian Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang tampil menyalurkan hulur bantuan kit makanan kepada golongan tersebut.
Pengagihan sumbangan itu dilakukan secara berperingkat dengan kerjasama Perbadanan Labuan (PL) mulai hari ini.
Seramai 11 buah keluarga asnaf menerima sumbangan kit makanan yang disampaikan sendiri Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa dalam lawatan beliau ke rumah keluarga asnaf itu hari ini.
Annuar yang juga Pengerusi YWP berkata, pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu telah memberi kesan kepada kehidupan dan ekonomi rakyat secara keseluruhannya.
“Hari ini saya meninjau sendiri golongan asnaf di Labuan. Saya ingin melihat profil permasalahan yang mereka hadapi.
“Sebahagian mereka telah pun menerima bantuan lain namun, ada asnaf yang ada masalah pemilikan rumah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kit makanan kepada golongan asnaf di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), Mohd Ajib Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr Fary Akmal Osman. – WILAYAHKU
