Berita

Rumah Prihatin Wilayah turut dibina di Labuan

Bantu golongan susah beli rumah mampu milik mengikut kemampuan mereka
ANNUAR mendengar masalah yang diluahkan sepasang suami isteri mengenai masalah bumbung bocor ketika melawat rumah mereka di Kampung Sungai Keling, Labuan hari ini. Turut kelihatan Fary (tiga dari kiri) dan Zaizalnizam (kanan). FOTO NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 8 Jun 2020 2:54 PM MYT

LABUAN – Bagi memberikan peluang kepada golongan berpendapatan rendah di sini memiliki kediaman sendiri, Kementerian Wilayah Persekutuan akan memperluaskan projek Rumah Prihatin Wilayah di Labuan.

Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, harga rumah mampu milik itu mungkin berbeza dengan Putrajaya dan Kuala Lumpur namun ia akan disesuaikan dengan kadar kemampuan penduduk di sini.

“Setelah melihat sendiri keadaan masyarakat di sini termasuk masalah perumahan yang dihadapi golongan asnaf, saya tahu ada keperluan mendesak untuk kita laksanakan projek perumahan mampu milik yang sesuai dengan kemampuan.

“Saya telah berbincang dengan  Perbadanan Labuan untuk mengenal pasti tapak tanah yang sesuai untuk projek Rumah Prihatin Wilayah,” katanya ketika ditemui pemberita lepas menyampaikan bantuan kit makanan kepada golongan asnaf di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Zaizalnizam Zainun.

Annuar berkata, kementeriannya sedang menyiapkan kertas Kabinet untuk melancarkan projek Rumah Prihatin Wilayah di tanah kerajaan di Kuala Lumpur atau Putrajaya.

Jelas beliau, berbeza dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya, perumahan mampu milik di Labuan mungkin melibatkan pembangunan strata bertingkat rendah.

“Projek perumahan mampu milik juga dapat dilaksanakan dengan kerjasama pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas