Berita

Covid-19: 37 kes baharu, 2 kematian

|
- Diterbit 13 Mei 2020 1:30 PM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 37 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 21 daripadanya membabitkan warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu sekali gus mencatatkan 6,779 kes keseluruhan dalam negara.

Katanya, daripada jumlah itu, empat adalah kes import manakala 33 kes membabitkan penularan tempatan.

“Selain itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,387 kes,” katanya dalam sidang akhar harian di sini, hari ini.

Katanya, terdapat 58 kes pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya Covid-19 adalah sebanyak 5,281 kes iaitu 77.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, dua kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 adalah sebanyak 111 kes iaitu 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, kematian ke-110 (kes ke-6,743) adalah lelaki warganegara Malaysia berusia 30 tahun yang ditemui mati di Rompin, Pahang.

Katanya, ujian sampel Covid-19 diambil semasa bedah siasat didapati positif Covid-19 semalam.

“Kes ini di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Kesihatan Rompin dengan punca jangkitan belum dikenal pasti serta masih dalam siasatan.

“Kes kematian ke-111 (kes ke-5,195) adalah lelaki warganegara Malaysia berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kronik pernafasan.

“Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 16 April lalu dan disahkan meninggal dunia pada pukul 10.36 pagi hari ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas