Berita

Pemuda UMNO Putrajaya, peniaga tuntut dikecualikan sewa kiosk 6 bulan

ZUSHAIDEY (depan, tengah) bersama peniaga menuntut pengecualian sewa bagi kiosk dan kedai di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya hari ini.
- Diterbit 8 Mei 2020 8:24 AM MYT

PUTRAJAYA – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya bersama para peniaga menuntut pengecualian bayaran sewa kedai dan kiosk di Kompleks Kejiranan Presint 11 di sini daripada Perbadanan Putrajaya (PPj) sehingga enam bulan ekoran wabak Covid-19 selaras dengan pengumuman pihak kerajaan sebelum ini.

Naib Ketuanya, Mohd. Zushaidey Zulkifli berkata, tuntutan ini dilakukan setelah PPj hanya bersetuju untuk memberikan dua bulan pengecualian sewaan iaitu Mac dan April 2020.

“Ini amat jelas bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lalu bahawa kerajaan bersetuju memberikan pengecualian sewaan selama enam bulan untuk semua premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain.

“Ia juga termasuk semua premis milik agensi dan badan berkanun Kerajaan Persekutuan. Perdana Menteri turut menggesa agar Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat memberikan pengecualian yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MOHD. ZUSHAIDEY memberikan kenyataan berhubung tuntutan pihak peniaga untuk mendapat pengecualian sewa premis sehingga 6 bulan.

Mohd. Zushaidey berkata, tuntutan itu perlu dipandang serius oleh PPj kerana berdasarkan Inisiatif Wilayah Cakna yang telah diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa baru-baru ini memberikan pengecualian bayaran sewa perumahan awam (PA)/Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama enam bulan.

“Pengecualian bayaran sewa ini meliputi semua unit rumah, kedai, gerai di PA dan PPR DBKL, Kompleks Belia dan Beliawanis serta perumahan bandar mulai Mac hingga Ogos 2020.

“Kaedah pengecualian bayaran sewa adalah secara automatik,” katanya.

Tegasnya lagi, Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya berharap suara mereka didengari dan cadangan tersebut dipertimbangkan.

“Kami turut berharap pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan PPj dapat mengambil tindakan sewajarnya ekoran keadaan terkini yang telah memberi kesan terhadap perniagaan dan pendapatan peniaga tersebut.

“Sehingga hari ini, pendapatan peniaga masih terjejas dan nasib perniagaan mereka masih tidak diketahui,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas