Berita

Politik panas kembali, Speaker terima usul Tun Mahathir buat undi tidak percaya

- Diterbit 8 Mei 2020 7:48 AM MYT

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof menerima usul persendirian yang dikemukakan Tun Dr. Mahathir Mohamad (Bersatu – Langkawi) bagi membuat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pada 4 Mei 2020, pihaknya telah menerima dua usul daripada Ahli Parlimen Langkawi itu iaitu satu di bawah Peraturan Mesyuarat 4 bagi membuat ketetapan Yang Dipertua Dewan Rakyat penggal ini dikekalkan sehingga Dewan Rakyat dibubarkan.

Satu lagi usul dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) untuk membuat ketetapan bahawa Muhyiddin (Bersatu – Pagoh) tidak mempunyai keyakinan, majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Setelah diteliti berdasarkan penjelasan yang dikemukakan, saya memutuskan bahawa usul di bawah Peraturan Mesyuarat 4 adalah ditolak kerana tidak mematuhi Peraturan manakala usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan secara jelas adakah usul itu akan dibacakan dalam sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini atau sebaliknya.

Dalam kenyataan sama, Mohamad Ariff menyatakan, beliau menolak usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) yang dikemukakan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan – Semporna) bagi membuat ketetapan bahawa Dr. Mahathir mempunyai keyakinan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Ini kerana katanya, usul itu tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, satu lagi usul daripada Datuk Liew Vui Keong ( Warisan – Batu Sapi) di bawah Peraturan Mesyuarat 18 bertarikh 1 Mei lalu untuk membuat ketetapan Muhyiddin tidak mempunyai keyakinan Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Katanya, Ahli Parlimen Batu Sapi itu juga mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Dr. Mahathir mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat

Selain itu, beliau juga mengemukakan usul agar bahawa sidang yang dijadual berlangsung selama satu hari bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan mahu ia dilanjutkan kepada lapan hari.

“Atas pertimbangan berdasarkan penjelasan yang telah dikemukakan, saya memutuskan agar sebahagian ditolak dengan alasan usul dikemukakan tidak perlu disegerakan dan sebahagian diterima kerana ia perkara tertentu, untuk kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan boleh dibawa ke sidang Dewan Rakyat kelak, ” jelasnya.

Sementara itu, Mohamad Ariff memberitahu, Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang akan berlangsung selama satu hari, Isnin, 18 Mei 2020 dijadual dimulakan dengan Istiadat Perasmian Parlimen dan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disusuli dengan sidang Dewan Rakyat yang hanya akan membincangkan Usul Urusan Kerajaan dan Rang Undang-Undang.

Mohamad Ariff berkata, pihaknya perlu meneliti dan memastikan segala usul yang dikemukakan hendaklah menepati serta mematuhi Peraturan Majlis
Mesyuarat sedia ada kerana ia sebahagian daripada keluhuran undang-undang.

“Dalam hal ini, apa jua pertimbangan dan keputusan dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu bersifat adil dan saksama serta menjaga integriti Dewan Rakyat dan Parlimen sentiasa terpelihara,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas