Berita

435,010 mohon rentas negeri bermula semalam

|
- Diterbit 8 Mei 2020 9:11 AM MYT

PUTRAJAYA – Seramai 435,010 individu telah memohon kebenaran rentas negeri bermula semalam hingga Ahad ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tersebut diperoleh menerusi aplikasi mudah alih Gerak Malaysia dan borang manual daripada Polis Diraja Malaysia.

Kata beliau, seramai 232,485 individu
telah bergerak dari Kuala Lumpur ke kampung halaman atau kediaman masing-masing di luar ibu kota semalam.

“Berdasarkan permohonan didapati, 226,181 menerusi aplikasi Gerak Malaysia dan 6,304 menggunakan borang manual.

“Berdasarkan laporan PDRM, pergerakan semalam berjalan dengan lancar dan ramai keluar bermula sahur.

“PDRM juga telah membuat 98 sekatan jalan raya dalam memantau rentas negeri,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari.

Menurut Ismail Sabri, pergerakan rentas negeri akan terus bersambung hari melibatkan Perak, Johor dan Kelantan dengan seramai 70,538.

Ujar beliau, bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang pula menyaksikan 54,151 kebenaran diberikan selain Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu sebanyak 77,836.

“Perlu diingatkan rentas negeri ini hanya untuk satu hala dan bukannya balik hari ini dan esok lusa ingin balik semula untuk berbuka puasa.

“Ini kita faham mereka yang terkandas begitu lama dan buka selama empat hari untuk pulang ke tempat kerja masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan kebenaran rentas negeri turut dibenarkan untuk bekerja sahaja dengan syarat mendapat surat pelepasan daripada majikan atau ketua Jabatan masing-masing.

“Contohnya tinggal di Nilai namun bekerja di Putrajaya. Kebenaran rentas negeri dibenarkan dengan syarat dapat surat kebenaran majikan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas