Berita

Elaun atlet angkat berat Wilayah Persekutuan diteruskan

ATLET angkat berat Wilayah Persekutuan tetap
- Diterbit 9 April 2020 11:01 AM MYT

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Angkat Berat Wilayah Persekutuan, Ahmad Janius Abdullah mengesahkan pihaknya sudah menerima surat pekeliling daripada Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) berkaitan pembayaran elaun latihan atlet angkat berat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ahmad Janius, MWSP dalam surat pekeliling menyatakan tiada hasrat untuk memotong elaun mana-mana atlet di bawah naungannya termasuk atlet angkat berat.

“MSWP dan Kementerian Wilayah Persekutuan masih meneruskan pembayaran elaun seperti biasa biarpun Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) digantung Persatuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) kerana isu doping serta status sukan itu di Sukan Malaysia (Sukma) Johor masih menjadi tanda tanya,” ujarnya.

Katanya, MSWP telah menghantar surat rasmi berkenaan hal pemotongan elaun berdasarkan arahan daripada Menteri Wilayah Persekutuan.

“Pasukan angkat berat Wilayah Persekutuan akan tetap meneruskan latihan di rumah sepanjang tempoh PKP bergantung kepada program yang diberikan jurulatih masing-masing,” ujarnya.

Tambah Ahmad Janius, walaupun status sukan itu dalam Sukma tahun hadapan masih samar namun ia bakal dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma.

“Kita berharap jawatankuasa yang akan bersidang nanti dapat mempertimbangkan untuk melonggarkan syarat penyertaan atlet ke Sukma memandangkan penundaan temasya tersebut ke tahun tahun depan akan menyaksikan ramai atlet sudah melepasi had umur (21 tahun) yang telah ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa bersetuju meminta MSWP membayar elaun jurulatih dan atlet seperti biasa sepanjang tempoh PKP. – WILAYAHKU

2.AKSI atlet angkat berat Wilayah Persekutuan, Erry Hidayat pada edisi SUKMA 2018.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas