Berita

Pajak gadai, Kredit Komuniti boleh beroperasi

- Diterbit 9 April 2020 1:00 PM MYT

PUTRAJAYA – Persatuan Pemberi Pinjaman Wang atau Kredit Komuniti dan persatuan pajak gadai bersetuju memberi moratorium selama tiga bulan dan mengecualikan caj kelewatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kedua-dua premis tersebut juga dibenarkan beroperasi selama dua hari seminggu dan tempoh masa operasi adalah dihadkan kepada 9 pagi hingga 2 petang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan pihak Syarikat Kredit Komuniti susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Langkah Tambahan Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin Tambahan) yang diumumkan 6 April lalu.

Jelas beliau, pihak terbabit juga diingatkan supaya tidak mengenakan caj faedah melebihi yang ditetapkan dalam Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400] iaitu sebanyak 12 peratus bagi pinjaman bercagar dan 18 peratus bagi pinjaman tidak bercagar kepada peminjam sepanjang tempoh PKP.

“Dalam tempoh PKP ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menerima banyak pertanyaan daripada orang awam mengenai perkhidmatan Kredit Komuniti dan Pemegang Pajak Gadai melalui talian Hotline KPKT.

“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju agar premis syarikat Kredit Komuniti dan Pemegang Pajak Gadai beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida menggesa supaya pihak syarikat mematuhi arahan dan peraturan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] termasuklah mengamalkan penjarakkan sosial (social distancing) sekurang-kurangnya satu meter dan memakai topeng muka tiga lapis (3-ply face mask).

Tambahnya, pihak syarikat juga perlu menyediakan hand sanitizer kepada orang awam yang berurusan dan melakukan proses nyah kuman secara kerap di dalam premis (disinfection).

“Dengan ini, saya selaku Menteri KPKT menyeru semua pihak yang terlibat agar prihatin dengan saranan kementerian dan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap setiap arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

“Orang awam dan syarikat PKS yang terlibat juga boleh mendapatkan maklumat mengenai perkara ini dan juga perkhidmatan KPKT yang lain di talian Hotline KPKT iaitu 03-8891 3975,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas