PUTRAJAYA – Setiap tabung yang diwujudkan dalam menyalurkan bantuan sepanjang Covid-19 digalakkan berdaftar dengan Kementerian Kewangan.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, langkah itu bagi membolehkan para penyumbangnya dapat menerima insentif pengecualian cukai.
“Ramai yang prihatin dalam memberikan bantuan dan sumbangan termasuk topeng muka dan peralatan perlindungan diri (PPE) selain banyak tabung diwujudkan.
“Kita berterima kasih namun kerajaan mencadangkan setiap tabung didaftarkan kerana Kementerian Kewangan telah mengumumkan bahawa penyumbang menerima insentif pengecualian cukai,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Menurut beliau, Tabung Covid-19 yang dilancarkan pada 11 Mac lalu telah mengumpul RM22.66 juta hasil sumbangan pelbagai pihak.
Ismail Sabri menambah, daripada jumlah tersebut sebanyak RM5.8juta telah disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk fasa pertama bagi pembelian bantuan barangan keperluan kepada mereka yang terjejas Covid-19 terutamanya di bawah kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Selain itu, RM9.06 juta turut disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta YKN dalam meningkatkan kemampuan pengagihan bantuan,” katanya. – WILAYAHKU