Berita

Ubah suai Bazar Ramadan, elak bersesak-sesak

TRADISI Bazar Ramadan yang lazim sesak dengan orang ramai tidak dapat lagi diadakan pada Ramadan ini ekoran wabak Covid-19.
- Diterbit 31 Mac 2020 7:19 AM MYT

PUTRAJAYA – Penularan wabak Covid-19 menyebabkan tradisi Bazar Ramadan seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) atau Jalan Raja di Kuala Lumpur serta seluruh lokasi di ibu kota, Putrajaya serta Labuan tidak dapat diadakan pada tahun ini.

Bagaimanapun, Kementerian Wilayah Persekutuan membayangkan terdapat sedikit pengubahsuaian terhadap Bazar Ramadan dengan memastikan tidak wujud keadaan yang sesak dan dipenuhi banyak gerai di satu-satu lokasi.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, Bazar Ramadan dalam bentuk yang lama tidak boleh lagi diadakan dan pihaknya akan membuat keputusan tentang perkara itu sedikit masa lagi bagi menentukan sama ada ia dapat diteruskan atau sebaliknya selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan pada 14 April ini.

“Saya telah beritahu kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Presiden Perbadanan Putrajaya untuk beri masa sedikit sebelum sebarang pengumuman dibuat.

“Saya tidak mahu kita buat keputusan hanya kerana reaksi apabila ada negara dan pihak tertentu kata tiada Bazar Ramadan pada tahun ini, maka kita kata tidak ada. Penelitian mahu dibuat, memang Bazar Ramadan dalam bentuk lazim dahulu besar kemungkinan tidak boleh diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Operasi Sanitasi Awam di Presint 15 di sini hari ini. Hadir sama Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Annuar berkata, tindakan untuk tidak mengadakan Bazar Ramadan tidak memberikan jawapan kepada keperluan masyarakat bandar yang perlu membeli makanan untuk berbuka puasa.

Annuar berkata, beliau berharap DBKL dapat memberikan taklimat kepadanya apakah cadangan yang dapat dilakukan bagi menyelesaikan masalah Bazar Ramadan.

Katanya, mungkin  aktiviti jualan pada bulan Ramadan dihadkan bilangan gerai dan diletakkan di lokasi berasingan bagi mengelakkan suasana yang sesak.

“Kita baru bulan Syaaban tetapi kena buat persediaan, orang berniaga mereka perlu buat tempahan barang dan kita sebenarnya sudah pilih di mana tempat dan siapa yang dapat gerai. Kita faham mereka tertanya-tanya,” katanya.

Katanya, masyarakat di negara ini perlu mempelajari dan perlu memperbaiki cara hidup selepas tamat PKP nanti agar mereka dapat menguruskan soal kesesakan serta tidak meneruskan cara hidup lama yang boleh membawa kepada masalah kesihatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas