Berita

Rayuan Dr. Noor Hisham kepada rakyat Malaysia

GAMBAR petugas perubatan yang dikongsikan Dr. Noor Hisham dalam laman Facebooknya.
- Diterbit 31 Mac 2020 6:24 AM MYT
DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

PUTRAJAYA – Masyarakat Malaysia dianggap sebagai penentu utama dalam menghentikan penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah meletakkan harapan agar seluruh rakyat dapat terus duduk di rumah dan kekal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Peranan anda adalah penting dalam meratakan lengkung (jangkitan Covid-19) dan dengan itu membolehkan kami lebih banyak masa dan kapasiti untuk menampung keperluan penjagaan kesihatan anda. Setiap rakyat Malaysia mesti memainkan peranan mereka dalam memerangi pandemik ini,” katanya dalam laman Facebooknya hari ini.

Semalam seluruh doktor menyambut Hari Doktor Sedunia dalam keadaan masyarakat dunia berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 yang hingga kini telah memakan 33,607 nyawa setakat semalam.

Amerika Syarikat mencatatkan kes yang tertinggi iaitu 142,106 kes atau 19.7 peratus dari jumlah keseluruhan kes dunia manakala Itali pula mencatatkan negara kedua kes yang tertinggi di dunia iaitu 97,689 kes atau 13.5 peratus. Malaysia mencatat 37 kematian.

Dr. Noor Hisham berkata, negara kini sedang melalui suatu tempoh yang sangat getir dan setiap seorang daripada rakyat telah pun terkesan akibatnya.

“Dalam menangani peristiwa yang julung kalinya berlaku dalam sejarah negara kita, langkah-langkah baharu telah dilaksanakan termasuklah Perintah Kawalan Pergerakan.

“Walaupun situasi semasa ini adalah suatu pengalaman yang baharu bagi kita semua, sektor kesihatan telah merancang dan bersiapsiaga untuk sebarang kemungkinan.

“Dengan penglibatan petugas daripada semua peringkat, kami melakukan yang terbaik demi memastikan keselamatan semua pihak. Sememangnya kesihatan anda tetap menjadi keutamaan kami,” katanya.

Dr. Noor Hisham menyatakan, petugas kesihatan, baik di sektor awam mahupun di sektor swasta, mereka telah menunjukkan iltizam yang tinggi dan berusaha sebaik mungkin dalam usaha untuk memerangi pandemik Covid-19.

“Ramai yang telah meninggalkan orang yang tersayang di rumah dan mengorbankan masa dan keselesaan untuk berada di barisan hadapan demi merawat pesakit kita.

“Kementerian menghargai setiap satu daripada anda serta segala kudrat yang telah dan sedang anda curahkan setiap hari. Dedikasi dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh setiap petugas kesihatan dalam menghadapi pandemik yang luar biasa ini sememangnya menakjubkan. Terima kasih kepada anda semua,” ujarnya.

Sementara itu, kata beliau, pihaknya amat terharu tatkala menyaksikan kemurahan hati sebegitu banyak individu dan organisasi, kecil dan besar, tempatan dan antarabangsa.
“Bagi pihak petugas di barisan hadapan, saya ucapkan terima kasih,” katanya. – WILAYAHKU

PETUGAS barisan hadapan bersandar pada dinding akibat keletihan setelah bertungkus-lumus mengendalikan pesakit Covid-19.
PETUGAS kesihatan terus kental meneruskan tanggungjawab.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas