Berita

Menara City One dikawal ketat, semua penghuni dikehendaki jalani saringan kesihatan

- Diterbit 31 Mac 2020 7:58 AM MYT

KUALA LUMPUR – Menara City One di Jalan Munshi Abdullah di sini dikawal ketat susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) berkuat kuasa malam tadi hingga 13 April ini.

Tinjauan Wilayahku mendapati, semua pintu masuk dikawal pasukan keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Terdapat beberapa penghuni ini cuba untuk keluar namun telah diarahkan untuk masuk semula ke kediaman masing-masing oleh pihak berkuasa.

Beberapa individu yang dipercayai rakan kepada penduduk di sini hanya dibenarkan menghantar bekalan makanan di luar dan penduduk akan keluar bagi mengambil barangan tersebut dalam jarak yang ditetapkan.

PKPD itu melibatkan 3,200 penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di menara itu.

Langkah berkenaan diambil bagi membolehkan aktiviti pengesanan kes Covid-19 dilakukan dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

Sementara itu, pada pukul 1.50 petang, empat van yang membawa lebih 20 petugas kesihatan tiba bagi membuat saringan kesihatan jangkitan Covid-19 bagi semua penghuni di kondominium itu.

Ini merupakan kondominium pertama dikenakan PKPD dan lokasi ketiga di bawah perintah tersebut selepas Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor pada 26 Mac lalu serta Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor berkuat kuasa tengah malam Isnin lalu hingga 13 April. – WILAYAHKU

KON dan pita kuning dipasang bagi memperketat pergerakan di Menara City One.
KAKITANGAN kesihatan mula menjalankan saringan kesihatan ke atas penghuni di kondominium Menara City One. Gambar NAZIRUL ROSELAN
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas