PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) menggerakkan operasi bersepadu bersama beberapa agensi bagi melakukan kerja-kerja disinfeksi di kawasan komersial, kediaman dan pejabat kerajaan di sini.
Dalam operasi besar-besaran hari ini, seramai 20 anggota dan pegawai terlibat dalam operasi sanitasi awam di kawasan komersial Presint Diplomatik, Presint 15 di sini dalam usaha mengekang jangkitan Covid-19.
Operasi bermula pukul 9 pagi itu disertai kakitangan PPj, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan, Rela dan Alam Flora.
Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Tpr. Annuar Musa dan Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.
Jentera peralatan yang digunakan ialah dua buah kenderaan Hilux berserta pam air bertekanan tinggi milik JBPM dan empat unit modular water mist mudah alih.
Selain itu, operasi tersebut turut digerakkan dengan menggunakan dua lori tangki berkapasiti 5,000 liter dengan satu unit HP Water Jetter dan sebuah kenderaan Hilux mounted Tifa Machine.
Operasi semburan nyah kuman tersebut turut diperluaskan ke kawasan Hospital Putrajaya, Putrajaya Sentral dan depoh Nadi Putra esok.
Jumaat ini operasi sama akan diadakan di Kompleks Kerajaan Presint 1.
Kerja-kerja pembersihan secara rutin turut dilakukan di kawasan-kawasan awam termasuk gelanggang sukan dan tempat permainan. – WILAYAHKU
