Berita

Peraturan baru silat lebih terbuka dan agresif

SENI silat kaya dengan teknik.
- Diterbit 31 Mac 2020 4:31 AM MYT

KUALA LUMPUR – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menetapkan peraturan baru yang lebih terbuka dan agresif bagi setiap perlawanan silat.

“Peraturan baru ini sudah dipersetujui dengan ditandatangani empat buah negara utama silat iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei,” ujar beliau.

Kata beliau, perbincangan mengenai peraturan lebih menarik ini sudah dibawanya sejak bertahun lalu dan idea berkenaan mula diterima pada Oktober lalu di Singapura selepas pertemuan dengan wakil negara jiran itu dan Indonesia.

“Ini akan menjadikan perlawanan sukan silat lebih menarik tanpa terlalu banyak peraturan yang dilarang merangkumi cara menyerang dan bertahan.

“Kita juga akan perbaiki sistem pemarkahan. Sebagai contoh, kita tidak akan menggunakan lima juri sebaliknya tiga juri sahaja.

“Sistem pemarkahan juga berbeza yang mana tiga juri ini kita gunakan sistem baharu, dua juri bagi markah sama, kemudian barulah markah itu diterima,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, praktikal sudah dibuat dan ia diterima baik.

“Saya percaya ia lebih menarik untuk ditonton dan lebih agresif. Silat ini kaya dengan teknik tetapi kita ‘memiskinkan’ teknik hanya kerana kaedah pertandingan. Pada saya, itu tidak kena dan syukur Brunei, Indonesia, Singapura dan Malaysia sudah menandatangani dan bersetuju,” tambahnya.

Peraturan baharu ini dijadual dipraktikkan buat kali pertamanya di Kejuaraan Silat Dunia 2020 di Kuching, Sarawak, Disember ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas