Berita

JKKKN WP tetapkan pusat kumpul sumbangan di DBKL Jalan Tun Razak

Mereka sangat memerlukan bekalan topeng muka, pembersih tangan, makanan dan minuman
ANNUAR
- Diterbit 22 Mac 2020 7:44 AM MYT

KUALA LUMPUR – Jawatan Kuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKKN WP) menetapkan pengumpulan barangan sumbangan dipusatkan di Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Jalan Tun Razak di sini bermula hari ini.

Pengerusinya, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, bantuan dalam bentuk barangan antaranya bekalan makanan, topeng muka, pembersih tangan dan sebagainya boleh dilakukan di pusat pengumpulan terbabit yang akan diselaraskan petugas dilantik.

“Bagi sumbangan berbentuk wang pula, ia perlu dinamakan ke atas akaun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menerusi Bank Muamalat (14060004581714),” katanya dalam sidang akhbar khas JKKKN WP hari ini.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, beliau menyeru orang ramai dan penyumbang berikutan Wilayah Persekutuan mempunyai 5,000 petugas barisan hadapan yang bekerja mengikut tiga shif.

Jelas beliau, ia terdiri daripada 1,500 anggota polis, 1,413 (tentera darat), 1,500 (penguat kuasa DBKL) dan bakinya adalah daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan (RELA), doktor serta jururawat.

“Mereka sangat memerlukan bekalan topeng muka, pembersih tangan, makanan dan minuman. Pada masa ini, kita sedang membekalkan kira-kira 2,000 bekalan sehari khususnya kepada penguat kuasa DBKL dan petugas lain mengikut jumlah sumbangan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas