Berita

Bank Islam tawar moratorium 6 bulan bayar balik pinjaman

- Diterbit 19 Mac 2020 3:00 PM MYT

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengembangkan program bantuan kewangannya untuk merangkumi penangguhan
sementara pembayaran balik pembiayaan (moratorium) sehingga 6 bulan.

Sebelum ini, Bank Islam menawarkan penjadualan dan penstrukturan semula
pembiayaan kepada semua individu dan perniagaan yang terjejas seperti
diumumkan pada 11 Februari lepas.

Selain itu, bagi pelanggan perniagaan, PKS yang layak boleh mendapatkan
pembiayaan sehingga RM1 juta untuk tempoh sehingga 5.5 tahun.

Ini termasuk moratorium pembiayaan pembayaran balik sehingga tempoh 6 bulan pada kadar pembiayaan yang berpatutan sebanyak 3.75 peratus setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, berikutan kebimbangan mengenai kes Covid-19 yang semakin meningkat, pihaknya mengikuti rapat berita mengenai perkembangan situasi ini dan secara aktif menghubungi pelanggannya yang mungkin terjejas.

“Kebajikan dan kepentingan masyarakat serta pelanggan kami sentiasa menjadi salah satu keutamaan Bank Islam.

“Oleh itu, kami mengambil tindakan proaktif dalam membantu pelanggan dan perniagaan untuk menangani masalah kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Muazzam berkata, pihaknya berharap pengembangan program ini
akan membantu melegakan kebimbangan individu dan perniagaan terhadap komitmen bulanan kewangan mereka di sepanjang ketidaktentuan ini.

“Perkhidmatan Bank Islam tidak terjejas sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Kerajaan bermula 18 hingga 31 Mac 2020 dan kami beroperasi seperti biasa,” tambah beliau.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut tentang kelayakan moratorium ini, pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03 2690 0900. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas