Berita

Warga emas enggan jalani saringan Covid-19 ditahan

- Diterbit 20 Mac 2020 2:42 AM MYT

LABUAN – Seorang lelaki ditahan polis kerana enggan menjalani ujian saringan Covid-19 di Taman Mutiara Sungai Bedaun di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 4 petang itu, lelaki berusia 68 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan pasukan perubatan Hospital Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, lelaki itu diperlukan hadir ke Hospital Labuan bagi ujian saringan dan kuarantin susulan dia merupakan bapa kepada salah seorang ahli jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

“Lelaki berkenaan disahkan sebagai kontak pertama hasil siasatan dijalankan pihak hospital kepada anaknya yang memaklumkan mereka tinggal serumah.

“Pada 17 Mac lalu, lelaki itu diarahkan hadir secara sukarela bagi menjalani ujian Covid-19 di Hospital Labuan. Namun dia tidak mengendahkan arahan dan perintah itu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Muhamad Farid berkata, ekoran perkara itu, pasukan pegawai perubatan Hospital Labuan pergi ke rumah lelaki berkenaan untuk membawanya ke hospital bagi menjalani ujian Covid-19 dan seterusnya kuarantin 14 hari, namun enggan bekerjasama.

Menurutnya, pihak Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan meminta bantuan pihak polis untuk melaksanakan perintah dan tugas itu.

“Polis menggunakan kekerasan secara minimum di bawah Seksyen 15(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Lelaki itu berjaya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk menjalani ujian Covid-19 dan seterusnya menjalani perintah kuarantin 14 hari di Pusat Kuarantin Hospital Labuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas