Berita

Ini baru betul-betul Kenduri Rakyat, warga Labuan hidupkan tradisi gotong-royong memasak

KHALID bersama orang ramai menjamu selera di program Kenduri Rakyat di Dataran Arena Boling Padang Antarabangsa Labuan.
- Diterbit 8 Februari 2020 4:19 AM MYT

LABUAN – Kenduri Rakyat sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020) yang berlangsung di pekarangan Arena Boling Padang Antarabangsa Labuan di sini bagaikan mengembalikan tradisi lama yang kian dilupakan.

Program itu juga memberi peluang kepada warga Wilayah Persekutuan khususnya komuniti Labuan merasai kemeriahan suasana kenduri yang begitu meriah satu ketika dahulu.

Ini apabila seawal pukul 3 pagi lagi, warga Labuan melibatkan wakil-wakil komuniti menyingsing lengan, bersama-sama menjalankan kerja-kerja memasak untuk menyiapkan juadah Kenduri Rakyat.

Lebih unik lagi, juadah yang disediakan 10 kumpulan memasak itu melibatkan menu pelbagai kaum sekali gus menampilkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di sini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, program Kenduri Rakyat merupakan signature program Sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang dinanti-nantikan oleh warga Labuan setiap tahun.

“Kenduri Rakyat merupakan program yang dinanti-nantikan saban tahun, baik di Labuan, mahupun di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Penganjuran program ini yang membawa komuniti setempat bersama-sama berkumpul menunjukkan impak positif penyatuan dan keharmonian hubungan sesama warga,” katanya ketika berucap merasmikan Kenduri Rakyat Wilayah Persekutuan Labuan di sini hari ini.

Hadir sama isteri Khalid, Dr. Zaitun Abu Bakar, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahrudin Md. Salleh; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar dan Pengerusi Perbadanan Labuan (PL) , Datuk Seri Amir Hussien.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr. Fary Akmal Osman; Ketua Petronas Sabah dan Labuan, Rokiah Sulaiman serta ketua-ketua agensi.

Kenduri Rakyat itu melibatkan 27 buah kampung, Dewan Perniagaan India, Dewan Perniagaan Tiong Hua, Hotel Lazenda Labuan dan Hotel Grand Dorsett Labuan.

Petronas Chemicals Methanol Sdn. Bhd. pula memberikan sumbangan beras, tong gas, baju-T dan apron.

Khalid menyifatkan program ini mampu menjadi landasan kepada kerajaan untuk menzahirkan keseimbangan pembangunan modal insan warga Wilayah Persekutuan melalui pengisian aktiviti melibatkan penyertaan komuniti.

“Pastinya program Kenduri Rakyat Wilayah Persekutuan ini menjadi salah satu elemen penting dalam memacu perpaduan dan kestabilan sosial khususnya dalam kalangan warga Labuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, pada tahun ini, beliau sangat teruja melihat semangat warga Labuan yang begitu ramai mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan terutamanya semasa program kempen kibar bendera pada 19 Januari lalu.

“Saya yakin penganjuran program-program Sambutan Hari Wilayah Persekutuan ini akan menambahkan lagi rasa sayang dan sense of belonging warga Labuan terhadap pulau yang dikenali sebagai Mutiara Borneo ini,” katanya. – WILAYAHKU

ORANG ramai yang hadir Kenduri Rakyat di Dataran Arena Boling Padang Antarabangsa Labuan mengambil juadah makanan yang dimasak secara bergotong-royong.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas