Karnival Sukan Wilayahku 2020 di Labuan tarik penyertaan 4,000 orang
ANTARA peserta program Karnival Sukan Wilayahku 2020.

Karnival Sukan Wilayahku 2020 di Labuan tarik penyertaan 4,000 orang

LABUAN – Kira-kira 4,000 peserta melibatkan diri menjayakan acara Karnival Sukan Wilayahku 2020 yang menjadi antara tumpuan utama program Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020) kawasan Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan di sini hari ini.

Acara dimulakan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad bersama-sama peserta dan orang ramai termasuk golongan kanak-kanak melakukan aktiviti senamrobik di Taman Awam Pantai Tanjung Purun seawal pukul 6.15 pagi.

KHALID turut menyertai acara fun run program Karnival Sukan Wilayahku 2020.

Selepas itu, Khalid menyempurnakan pelepasan acara Fun Run melibatkan larian sejauh lima kilometer (km), Kayuhan Sukan Hari Wilayah 2020 sejauh 7km dan Kid Ride.

Lebih menceriakan suasana, Khalid bersama orang ramai turut sama-sama menyertai acara Fun Run tersebut.

Turut serta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahrudin Md. Salleh; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar dan Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien.

Karnival tersebut dimeriahkan dengan pelbagai acara sukan yang menggambarkan warga Labuan begitu aktif menjalani gaya hidup sihat.

Sejajar dengan elemen Labuan sebagai lokasi sukan laut, Khalid kemudian melepaskan peserta Mini Marathon Kayak sejauh 7km mengelilingi Pulau Papan.

Selain itu, peserta pelbagai lapisan umur beraksi dalam acara sukan petanque, bola tampar pantai dan boling padang di Arena Boling Padang Antarabangsa Labuan.

Turut dipertandingkan ialah sukan-sukan tradisional seperti gasing, lari dalam guni, timbang bola takraw, bawa bola ping pong dalam sudu dan sambut belon berpasangan. – WILAYAHKU

KHALID melepaskan peserta fun run ketika hadir ke program Karnival Sukan Wilayahku 2020.

CATEGORIES
TAGS